Thursday, March 29, 2012

PERKHAWINAN CAMPUR DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Ini adalah tugasan saya untuk kelas AGAMA, ETNISITI DAN FENOMENA SOSIAL untuk Master ANTROPOLOGI SOSIOLOGI UKM, tugasan ini adalah tugasan semester 1 saya iaitu pada bulan sept 2011 - Jan 2012. saya harap ada manafaatnya untuk sapa2 yg juga mempunyai tugasan seperti ini. jika anda gunakan tulisan ilmiah saya ini saya harap anda tak lupa utk letakkan sumber rujukannya dari mana ya :) di akhir tulisan ini ada saya sertakan sumber rujukan utk kemudahan anda semua...

sama2 kita berkongsi ilmu kerana ilmu memang utk disebar2kan...


PENGENALAN

“Kalau kita satukan kekuatan kita, satukan peranan dan hala tuju kita, maka ia akan jadi satu kekuataan dalam proses membina sebuah negara tercinta”(Dato Seri Najib Tun Razak, 23Mei 2009)
Malaysia adalah sebuah negara yang wujud hasil pemuafakatan antara berbilang kaum, justeru untuk melahirkan sebuah negara yang aman damai dari jumlah penduduk yang mempunyai kepelbagaian kaum sudah tentu ianya bukanlah satu usaha yang mudah, kepelbagaian kaum bermakna kita mempunyai berbagai karakteristik budaya, keanekaragaman adat istiadat, bermacam macam ciri tingkahlaku yang didasarkan kepada pembawaan kaum serta peninggalan adat nenek moyang, justeru kepelbagaian ini akan melahirkan pula pelbagai kemahuan dan kecenderungan yang biasanya akan mewujudkan pula bermacam macam pendapat dan idealogi dalam usaha untuk menguasai citarasa politik negara, perebutan sumber ekonomi, meraih kedudukan dan kuasa sehingga dengan idealogi yang berbagai ini biasanya akan meletakkan kepentingan kaum mereka sebagai asas membina sebuah negara.
Melihat dari keadaan di atas maka kerajaan Malaysia telah mencetuskan sebuah gagasan dalam rangka membentuk kekuatan pada negara Malaysia iaitu yang disebut sebagai pembinaan negara bangsa, pembinaan negara bangsa ini dapat ditakrifkan sebagai : “Pembinaan negara bangsa adalah agenda kerajaan bagi menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya mampu hidup bersatu padu dalam kepelbagaian budaya,” (Ishak Saat 2009). Pembinaan negara bangsa dapat kita huraikan sebagai proses untuk mewujudkan semangat cintakan negara atau perasaan kekitaan di kalangan rakyat yang nantinya akan melahirkan sebuah perasaan persamaan satu bangsa dengan keperibadian bangsa yang bermatlamat untuk mewujudkan proses integrasi antara kaum agar lebih lancar, progresif dan bersatu dalam sebuah perjuangan iaitu untuk hidup dalam kerukunan serta aman makmur dalam sebuah negara yang pesat membangun. Proses integrasi ini merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional antara kumpulan kumpulan dari segi sosial, wilayah, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan juga politik.
Dalam sesebuah masyarakat yang majmuk seperti Malaysia, tunjang perpaduan terletak kepada satu hubungan baik antara kaum. Bagi merealisasikan perpaduan dalam sesebuah masyarakat, kerjasama dan tolak ansur sangat penting untuk memastikan kesejahteraan hidup dapat di kecapi bersama. Hubungan hubungan baik yang terjalin antara kaum melalui berbagai medium seperti hubungan kejiranan, persekolahan, hubungan di tempat kerja, kegiatan kegiatan sosial lainnya telah mewujudkan sebuah hubungan yang lebih rapat antara rakyat dan kaum di Malaysia, hubungan hubungan seperti ini akan melahirkan perkenalan dan situasi mereka yang semakin dekat ini boleh membuahkan hubungan cinta antara kaum yang berputik di institusi institusi di atas sehingga terjadinya hubungan yang lebih serius menuju ke jinjang pelamin atau sering disebut sebagai perkahwinan campur.



PERBINCANGAN KAHWIN CAMPUR

Perkahwinan merupakan penyatuan seorang lelaki dengan seorang perempuan dan zuriat yang dilahirkan oleh si perempuan diakui sebagai anak kepada kedua dua pihak, perkahwinan boleh juga ditafsirkan sebagai penerimaan masyarakat terhadap hak seseorang lelaki dan seorang perempuan untuk tinggal bersama sebagai suami isteri, (Norazit Selat, 128 : 1993).
Perkahwinan campur pula merupakan sebuah penyatuan yang terdiri dari berlainan bangsa atau kaum, berlainan agama atau berlainan warganegara. Proses ini di sifatkan sebagai penyatuan dua insan golongan berbeza sama ada agama atau bangsa. Dalam kehidupan masyarakat setiap orang mempunyai hak untuk bergaul dan berkawan serta berkenalan dengan siapa sahaja, begitu juga beragamnya bangsa yang masuk ke Malaysia di hari ini telah memberikan satu kesan khusus terhadap sistem perkhawinan campur di negara ini, kemungkinan untuk berkenalan dengan bangsa bangsa lain yang masuk ke Malaysia justru tidak tertutup kemungkinan untuk mereka saling jatuh cinta sehingga terjadinya perkahwinan campur.
Contoh jelas yang dapat di lihat apabila seorang lelaki melayu berkahwin dengan seorang perempuan India atau perempuan melayu berkahwin dengan lelaki keturunan cina atau lelaki india berkahwin dengan perempuan keturunan cina, ataupun perkahwinan antara wanita melayu dengan lelaki keturunan Pakistan, perkahwinan campur ini boleh saja terjadi antara pemuda pemudi dalam negara atau melintasi sempadan. Perkahwinan campur dapat diibaratkan sebagai sebuah permulaan budaya baru dari sebuah keluarga.
Hal ini dapat dilihat dari petikan bahawa ; “Keluarga bukan sahaja merupakan alat penyambung dalam kesinambungan sesuatu kebudayaan tetapi ia merupakan anasir dalam merubah kebudayaan. Oleh itu keluarga mempunyai kaitan yang rapat dengan masyarakat apabila keluarga memainkan peranan yang besar kearah pembentukan sesebuah masyarakat”, (Rohana Yusof, 152 ; 2010).
Berdasarkan petikan di atas dapat kita huraikan bahawa perkahwinan antara dua kaum atau dua keturunan yang berbeza ras akan melahirkan sebuah budaya baru, paling tidak ianya akan terjadi sebuah proses asimilasi secara fizik antara dua kebudayaan atau dua ras, kerana pada konsep perkahwinan ialah penyatuan dua insan yang datang dari dua keluarga berbeza.


KESAN PERKAHWINAN CAMPUR

Penyatuan dua insan dalam perkahwinan campur boleh disifatkan sebagai permulaan kepada dua buah keluarga besar dari dua ras berbeza untuk mulai saling mengenali adat istiadat atau pola perilaku keluarga yang satu lagi. Permulaan ini adalah sesuatu yang positif kerana mereka akan saling mempelajari aspek kebudayaan keluarga suami atau isteri masing masing sehingga akan wujud satu pengertian baru terhadap budaya suami isteri tersebut.
Menurut Koenjaraningrat, “Budaya menjadi suatu aspek yang penting dalam perkawinan, dimana pasangan tersebut tentu memiliki dalam hal nilai-nilai budaya yang dianut, menurut keyakinan dan kebiasaan, serta adat istiadat dan gaya hidup budaya. Di dalam perkawinan juga disatukan dua budaya yang berbeda, latar belakang yang berbeda, suku yang berbeda”, (Koentjaraningrat, 1981).
Secara mudahnya dapat dikatakan bahawa perkahwinan bukanlah hanya semata-mata sebuah perjanjian suci yang dilafazakan atau ikrar oleh dua manusia berbeza jantina bagi meneruskan sebuah hidup baru dalam alam rumahtangga. Proses perkahwinan tidak hanya persetujuan hubungan seks halal, malah konsep perkahwinan yang sejati biasanya melibatkan aspek aspek yang lebih besar seperti pertemuan dua keluarga, menyatunya dua karakter, menyesuaikan dua budaya, tradisi, adat istiadat, latarbelakang keluarga malah lebih jauh lagi ianya boleh menjadi sebagai persatuan dua bangsa.
Justru apabila terjadi perkahwinan campur samada ianya antara kaum dalam negara atau yang melibatkan bangsa lain dari luar negara perbezaan budaya kadangkala menjadi asas yang sangat kuat dalam mewujudkan suatu pemikiran baru tentang garis keturunan baru sehingga dua keluarga yang berbeza budaya ini akan menjadi saling mengerti tentang adat istiadat.
Apabila berlangsungnya upacara pernikahan atau akad nikah maka pengantin atau mereka yang terlibat dengan perkahwinan campur ini sangat menjaga adat, kerana dikesempatan inilah mereka akan menonjolkan adat istiadat masing masing sebagai sebuah kebanggaan dan keunikan adat mereka, lebih lebih lagi perkahwinan merupakan upacara adat yang harus mereka jaga dan banggakan sebagai warisan nenek moyang. Dari tradisi upacara perkahwinan ini akan tercermin jati diri bangsa mereka, namun biasanya bersatunya dua buah keluarga dapat mencerminkan bersatunya sebuah masyarakat berbilang kaum dan ini jelas terpancar melalui perkahwinan antara masyarakat Cina dengan Melayu. Hal ini dapat disokong oleh Dr. Johnben Loy Teik Cheok yang mengatakan bahawa “The ethnic mixing of families is likely to force the families to learn how to value the positive contributions each brings to our multicultural, multilingual and multi-religious nation”, (NST, 5 Nov 2011).
Keluarga sesebuah sukubangsa atau etnik yang terlibat dengan perkahwinan campur seakan dipaksa untuk mempelajari atau menilai secara positif tentang sumbangan keanekaragaman budaya, kepelbagaian bahasa dan masyarakat majmuk, hal ini sangat penting kerana kalau dilihat dari sudut adat istiadat, perkahwinan campur mempunyai kesan positif terutama dari sudut wujudnya amalan amalan budaya yang baru hasil gabungan dua keluarga dari 2 sukubangsa. Malah dari sudut agama dan sejarah ianya mempunyai kesan yang lebih mendalam iaitu bagaimana dengan perkahwinan jugalah penyebaran agama dapat dilakukan secara semulajadi. Hal ini dapat kita lihat dari sudut sejarah lagi yang mana sejak zaman kerajaaan melayu Melaka lagi penyebaran agama Islam telah dilakukan melalui perkahwinan.
Sungguhpun perkahwinan campur sering membawa erti kepada pembentukan suatu budaya bangsa yang baru, namun perkahwinan campur juga tidak terlepas dari mengalami pasang surut rumahtangga, kerana pertembungan dua budaya, dua bahasa malah adat yang berbeza sering juga menjadi punca keretakan rumahtangga, menurut Dr. Johnben Loy Teik Cheok lagi, “Typically, mixed couples have difficulties with differences around cultural family customs, language and religion. These differences are further exacerbated by pressures from their respective families and communities as well as the greater society for them to confirm to established expectations. For example, a young couple of modernised persuasion may seek to ignore their differences when they are in love. However, societal and family expectations such as religious conversions can forces the couples to choose between their differences rather than to find ways to live harmoniously with them. I have seen several couples break up due to such pressures from family and society”,(NST. 5 Nov 2011). Dr. Johnben berpendapat bahawa pasangan perkahwinan campur mengalami kesulitan dengan di kelilingi oleh perbezaan adat, bahasa dan agama, perbezaan ini diburukkan lagi oleh tekanan dari keluarga masing masing dan masyarakat luas yang mengharapkan mereka dapat memberikan sesuatu yang meyakinkan. Sebagai contoh pasangan perkahwinan campur yang berfikiran moden kelihatannya berusaha melupakan perbezaan-perbezaan tersebut ketika mereka sedang dilamun cinta. Walaubagaimanapun masyarakat luas dan keluarga mereka sentiasa mengharapkan berlakunya pertukaran agama sebagai jalan untuk memaksa pasangan ini memilih antara perbezaan mereka daripada mencari jalan hidup yang lebih harmoni. Dr Johnben juga melihat terdapat beberapa pasangan yang terpaksa mengakhiri rumahtangga sebagai akibat dari tekanan dari keluarga dan masyarkat.
Ini bermakna masyarakat masih berada dalam dilema samada membiarkan perkahwinan campur dengan jalan mudah atau salah satu pihak masih terpaksa mengikuti salah satu pihak yang lain dalam rangka menyelamatkan rumahtangga kerana tidak selamanya dan tidak semua keluarga dapat menerima perbezaan budaya, agama dan adat dalam keluarga mereka.
Perkahwinan campur sering juga dilihat sebagai sebuah proses menyemai benih baru bagi melahirkan generasi campuran baru, sudah tentu seandainya pasangan melayu Pakistan pastinya akan melahirkan zuriat yang lebih cerah warna kulitnya atau pasangan Cina Melayu sering dikatakan akan melahirkan zuriat yang lebih cerdik dan pintar. Hal ini boleh kita sifatkan sebagai perkembangan genetik baru yang mana pernikahan antara dua budaya sering memiliki kesan positif terutama dalam hal keturunan yang dilahirkan.
Adalah dipercayai bahawa perkahwinan dua manusia dari keturunan sukubangsa yang berbeza sudah pasti akan mewujudkan sebuah keturunan atau genetik baru, sehingga akan wujud pula wajah-wajah campuran yang unik seperti campuran Cina India, Cina Melayu, Melayu India, atau Melayu Kadazan yang pastinya akan terjadi kefasihan dalam bahasa ibunda atau bahasa baru atau kedua duanya sekali.
Umumnya kita ketahui juga bahawa masyarakat cina memang agak terkenal dengan bakat berniaga, dan seandainya kita mampu mewujudkan lebih ramai lagi pasangan melayu cina atau cina India maka kita mungkin dapat mewujudkan suatu bangsa campuran baru yang lebih berkeyakinan dalam bidang perniagaan. Wujudnya suasana ini akan lebih mempermudahkan lagi proses pembinaan negara bangsa kerana selama ini pembinaan negara bangsa dilihat sering dihalang oleh sikap prejudis antara kaum. Apabila kita melihat pada sebab-sebab berlakunya perpecahan kaum yang menggagalkan integrasi kaum dan pembinaan negara bangsa di Malaysia ini adalah kerana didorong oleh rasa tidak puas hati dan prejudis dalam kalangan kaum-kaum di Malaysia.
Ianya juga dapatlah kita katakan berpunca daripada sikap sesetengah kaum itu sendiri yang terlalu mahu menonjolkan kebudayaan masing-masing dengan mengetepikan kebudayaan kebangsaan seperti yang termaktub didalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Obsesi untuk berada didalam kelompok kaum sendiri dari segala segi juga adalah salah satu punca utama yang telah melambatkan proses pembinaan negara bangsa di Malaysia. Justru dengan perkahwinan campur dapat dilihat menjadi salah satu jambatan yang mampu mengurangi sikap dan rasa prejudis antara kaum di Malaysia.


RUMUSAN

Gagasan pembinaan negara bangsa menjadi sangat penting di saat isu-isu perkauman mulai bergema di negara ini akibat pergeseran politik dalam negara, agenda pembinaan negara bangsa ini menjadi penting kerana negara ini mempunyai penduduk yang berbilang kaum, dan tidak dapat disangkal lagi salah satu faktor yang melambatkan proses pembinaan negara bangsa ini ialah sikap prejudis antara kaum yang masih menebal antara satu sama lain.
Di Malaysia setiap kaum masih mempunyai persepsi negatif dan prejudis terhadap kaum yang lain lantaran sikap dan pengetahuan yang tidak menyeluruh tentang budaya dan aspirasi kaum lain menjadikan masyarakat sering dipisahkan oleh perbezaan pendapat, perbezaan perspektif, kepentingan ekonomi dan perbezaan kebudayaan yang mana akan menghalang proses penyatuan bangsa agak tergendala.
Justru sebagai salah satu langkah ke depan dalam rangka mencapai matlamat perpaduan dan integrasi kaum sebagai usaha untuk menjayakan agenda pembinaan negara bangsa, maka perlunya digalakkan proses perkahwinan campur sebagai salah satu cara untuk melahirkan semangat dan kefahaman terhadap budaya serta adat sesuatu kaum itu.
Sikap prejudis terhadap kaum lain sedikit demi sedikit akan pupus apabila mereka disatukan dalam sebuah rumahtangga yang harmoni, kerana penyatuan dua insan boleh menyatukan pula dua keluarga berlainan kaum, situasi ini mungkin agak sukar untuk dicapai seandainya semua pihak belum dapat menerima secara terbuka tentang kebaikan perkahwinan campur sebagai salah satu usaha pembinaan negara bangsa. Namun usaha usaha gigih kearah itu perlu digembleng dengan peranan sector berkepentingan sangat dituntut.
Harapan juga boleh dipertaruhkan kepada pihak kerajaan, agensi agensi kekeluargaan, badan badan persatuan dan NGO agar lebih banyak memberikan insentif serta galakan kepada mana mana pasangan yang akan mendirikan rumahtangga dalam bentuk perkahwinan campur, usaha-usaha untuk memberikan pendidikan tentang budaya bangsa juga amat diperlukan kepada keluarga masing masing tentang bentuk perbezaan yang boleh mereka serap sebagai tanda pemahaman terhadap budaya kaum lain. Peranan institusi agama, NGO, intitusi sosial lainnya amat diharapkan dalam rangka merangsang pertumbuhan minda bagi mengubah persepsi agar perkahwinan campur dapat dikembangkan sebagai salah satu jambatan untuk membina negara bangsa.













Rujukan :
Dato Seri Najib Tun Razak. (http://www.1malaysia.com.my/zh/news/keunikan-kaum-satu-kekuatan-transformasi-negara-najib/
Ishak Saat, 2009, Pendidikan Negara Bangsa Malaysia
Rohana Yusof, 2010, Asas Sains Sosial
Norazit Selat, 1993, Konsep Asas Antropologi
Koentjaraningrat, 1981, Manusia Kebudayaan di Indonesia

2 comments:

Anonymous said...

tq 4 the info....berguna untuk assignment sy...heee

Johnben Loy said...

I am glad that my newspaper interview was helpful for your paper! :-)