sama2 kita berkongsi ilmu kerana ilmu memang utk disebar2kan...
PENGENALAN
HIV dan AIDS telah dikategorikan sebagai pendemik global yang mampu mengancam sistem kehidupan manusia. Jika penularannya tidak berupaya dibendung, dunia mungkin akan menghadapi malapetaka yang dahsyat suatu masa nanti. Sejak dikesan kali pertama pada tahun 1980, HIV dan AIDS terus menyerang masyarakat dunia dan menambahkan bilangan penghidapnya dari tahun ke tahun. Wabak ini bukan hanya membawa ancaman kepada pesakit tetapi turut memberi kesan buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan sekadar penyakit biasa tetapi juga dianggap sebagai penyakit berstigma yang mempunyai makna agama, moral dan sosial apabila dihubungkaitkan dengan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya jangkitan ini serta implikasi yang terhasil daripadanya.
Apabila dijangkiti HIV dan AIDS, pesakit perlu berhadapan dengan situasi yang menyukarkan dalam menjalani kehidupan harian sebagai anggota masyarakat. Pesakit terpaksa berhadapan dengan dua cabaran getir iaitu kemerosotan tahap kesihatan peribadi serta persepsi anggota masyarakat yang memandang serong terhadap mereka. Mereka bukan hanya menghadapi derita fizikal tetapi juga derita emosi dan perasaan kerana anggota masyarakat kurang memberi simpati kepada pesakit HIV dan AIDS, bahkan menyalahkan mereka kerana memilih cara hidup yang salah. Interaksi sosial pesakit HIV dan AIDS akan terganggu kerana mereka dianggap sebagai sebahagian daripada penyumbang masalah sosial dalam masyarakat.
Justeru kerana tanggapan yang sebegini oleh masyarakat, kebanyakan pesakit HIV dan AIDS sedaya-upaya cuba menyembunyikan identiti mereka sebagai pesakit HIV dan AIDS, malahan ada yang menyembunyikannya daripada pengetahuan keluarga terdekat kerana mereka menjangkakan bahawa mereka akan menghadapi risiko didiskriminasikan dan disisihkan jika identiti mereka diketahui umum. Hanya sebilangan kecil yang mampu mendedahkan identiti mereka sebagai pesakit HIV dan AIDS dan biasanya mereka terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang mendapat sokongan daripada persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan berkaitan HIV dan AIDS seperti Majlis AIDS Malaysia.
HIV DAN AIDS
Kes HIV dan AIDS pertama dikesan bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1980 apabila sekumpulan homoseksual dari Amerika Syarikat mengadakan hubungan seks dengan homoseksual dari Afrika di Kepulauan Haiti. Homoseksual dari Amerika kemudiannya telah dijangkiti kuman HIV dan kerana beberapa sebab mereka telah mengalami pembinasaan sistem keimunan dan seterusnya menunjukkan gejala-gejala serta tanda-tanda penyakit AIDS. (Rusli 1997: 3). Bermula daripada kes pertama ini, HIV dan AIDS mula merebak ke seluruh dunia dengan pantasnya dan tiada satu pun benua yang terkecuali daripada menerima wabak ini. Menurut WHO, pada tahun 2009 sebanyak 33.3 juta penduduk dunia menghidap HIV, 2.6 juta penghidap baru HIV dan 1.8 juta mati akibat AIDS. (Global Report WHO 2009: 2010)
Di Malaysia, kes AIDS pertama dikesan pada Disember 1986 apabila seorang warganegara Amerika Syarikat berumur 45 tahun dari Malaysia disahkan menghidap AIDS dan meninggal dunia di Amerika Syarikat akibat pneumonia yang teruk (Rusli 1997: 22). Bermula daripada kes ini, jumlah penghidap HIV dan AIDS di Malaysia mula meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 1986, penghidap HIV di Malaysia hanya empat orang, sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1996 jumlah kes jangkitan meningkat kepada 4859 orang iaitu peningkatan sebanyak 121 475% (Aishah 2000: 539). Pada tahun 2006, jumlah kes HIV dan AIDS terus meningkat kepada 72 000 kes (United Nations HIV/AIDS Theme Group Malaysia 2007). Tahun 2010, 77 084 kes HIV dan AIDS dicatatkan dan Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan angka ini akan terus meningkat kepada 300 000 kes menjelang 2015 ( Nadzran & Rozeman 2010: 385).
HIV ialah singkatan daripada Human Immunodefiency Virus iaitu sejenis virus yang boleh melumpuhkan serta membinasakan sistem keimunan badan individu. Manakala AIDS ialah singkatan bagi Acquired Immune Deficiency Syndrome (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit) yang merujuk kepada daya keimunan atau pertahanan badan yang bertahan daripada serangan penyakit berkurangan sehingga ke tahap yang mengakibatkan individu berkenaan tersangat mudah dijangkiti oleh beraneka kuman (Rusli Nordin 1997: 2). Ini bermakna penyakit AIDS diperolehi melalui jangkitan virus yang dinamakan HIV sementara AIDS ialah peringkat akhir bagi jangkitan virus tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, seseorang boleh dijangkiti HIV dan AIDS dan mengjangkitkan virus tersebut kepada individu lain melalui lima saluran utama iaitu: (a) perkongsian jarum atau syringe yang mengandungi darah yang tercemar dengan HIV; (b) hubungan seksual dengan pembawa HIV; (c) jangkitan daripada ibu yang dijangkiti dengan HIV dan AIDS kepada bayi; (d) trasfusi darah dan produk darah yang mengandungi HIV; dan (e) pemindahan organ yang dicemari HIV (Aishah 2000: 542). Sumber virus HIV dan AIDS yang boleh mengakibatkan jangkitan pula ialah air mani, darah, cecair faraj servik dan susu ibu. Manakala virus HIV boleh didapati pada jumlah yang sedikit dalam air liur, air mata, air kencing sel mononuclear, cecair serebrospinal, sum-sum tulang dan otak (Aminuddin 1992: 36).
PESAKIT HIV DAN AIDS
HIV dan AIDS telah menjadi penyakit sejagat yang boleh menyerang sesiapa sahaja secara senyap. Tiada sesiapa pun yang boleh meyakinkan dirinya bahawa dia selama-lamanya akan selamat daripada dijangkiti penyakit ini selama mana dia menjauhi gaya hidup yang berisiko. Pada asasnya hanya mereka yang menjalani kehidupan berisiko yang akan berhadapan dengan bahaya jangkitan penyakit ini, namun realiti yang berlaku sebaliknya kerana sebahagian besar daripada mereka yang telah dijangkiti sedaya upaya berusaha menyembunyikan identiti mereka sebagai pesakit HIV dan AIDS. Dengan membawa identiti yang tersembunyi sebagai pesakit HIV dan AIDS, dalam masa yang sama mereka mungkin terdiri daripada suami, isteri, pesakit, penderma darah dan penderma organ yang boleh menyalurkan jangkitan tersebut kepada isteri, suami, anak, penerima darah dan penerima organ tanpa disedari oleh golongan yang dikategorikan sebagai mangsa ini.
Oleh itu, walaupun mengamalkan gaya hidup selamat adalah langkah pencegahan terbaik untuk mengawal dan mengelakkan jangkitan virus ini tetapi ia bukanlah jaminan mutlak bahawa setiap individu akan bebas daripada HIV dan AIDS kerana pembawa virus ini boleh saja berada di mana-mana tanpa disedari. Penagih dadah, pelacur atau pekerja seks, homoseksual, biseksual dan heteroseksual adalah individu-individu yang dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi pembawa virus HIV dan AIDS.
Individu-individu berisiko tinggi yang boleh dijangkiti dan menyebarkan jangkitan HIV AIDS terdiri daripada dua kategori utama iaitu:
i) Penagih dadah
ii) Pengamal seks bebas dan luar tabii yang terdiri daripada pelacur atau pekerja seks, heteroseksual, biseksual dan homoseksual
Manakala kategori ketiga ialah golongan pesakit HIV dan AIDS yang dikategorikan sebagai mangsa. Mereka mendapat jangkitan daripada golongan pembawa daripada dua kategori utama yang telah dijangkiti virus HIV. Golongan mangsa ini terdiri daripada:
iii) Isteri, suami, anak-anak, janin dalam kandungan, penerima darah dan organ , paramedik, pengurus jenazah dan orang awam.
Di Malaysia sehingga Disember 2010, Majlis Aids Malaysia melaporkan bahawa terdapat 77 084 rakyat Malaysia yang hidup bersama HIV dengan 3652 kes baru dicatatkan, 1035 kes AIDS dan 904 kes kematian melibatkan AIDS. Kadar jangkitan HIV kebangsaan pula ialah 12.9 kes bagi 100 000 orang. Dari segi gender, sejak epidemik ini bermula di Malaysia pada 1986 masih menunjukkan golongan lelaki menjadi populasi tertinggi dijangkiti HIV dengan 81.7% (2985 orang) kes baru dilaporkan, sementara wanita dan gadis sebanyak 18.3% (668 orang). Manakala kumpulan umur tertinggi yang dijangkiti HIV ialah 20-49 tahun.
Sesuatu yang harus diberikan perhatian dan agak membimbangkan apabila saluran jangkitan HIV telah menunjukkan perubahan. Jika tahun-tahun sebelum ini penagihan dadah menjadi saluran utama penyebaran HIV tetapi pada tahun 2010 menunjukkan saluran hubungan seks (heteroseksual, homoseksual dan biseksual) telah mengatasi saluran penagihan dadah iaitu 48.7% berbanding 47.4%. Laporan ini sekaligus membayangkan saluran hubungan seks dijangka akan menjadi saluran jangkitan utama HIV bagi tahun-tahun seterusnya. Jika penagihan dadah didominasi oleh penagih lelaki, sebaliknya hubungan seks melibatkan kedua-dua populasi lelaki dan wanita yang mana risiko penyebaran HIV menjadi lebih luas. Antara ketiga-tiga jenis hubungan seks, hubungan jenis heteroseksual paling berisiko kerana ia adalah hubungan seksual lazim yang menjadi amalan tingkah laku kebanyakan manusia, lelaki dan wanita bahkan dijadikan sumber pendapatan oleh golongan pekerja seks.
IDENTITI PESAKIT HIV DAN AIDS
Identiti merujuk kepada hubungan sosial dalam sistem kategori sosial tertentu (Farble dalam Aishah 1999: 150). Ia berkaitan dengan bagaimana seseorang atau sesuatu kumpulan mendefinisikan dirinya atau kumpulannya kepada pihak lain. Melalui identiti, sesuatu kumpulan atau individu dapat dikenali dan dibezakan berdasarkan ciri-ciri khusus yang terdapat pada identiti tersebut. Identiti boleh terbentuk melalui pelbagai ciri seperti etnik, bahasa, pakaian, makanan, persekitaran, pergaulan dan sebagainya. Identiti boleh mencipta keunikan dan keistimewaan sesuatu kumpulan atau individu. Dalam masa yang sama ada juga identiti yang tidak diingini, tidak didedahkan atau cuba disembunyikan ekoran daripada implikasi yang bakal diterima tidak membawa kebaikan, kelebihan atau keuntungan kepada pemilik identiti tersebut seperti identiti sebagai pesakit HIV dan AIDS.
IDENTITI SEBAGAI PESAKIT
Apabila mendengar perkataan HIV dan AIDS, pasti sebahagian daripada masyarakat tidak dapat mengelak daripada mengaitkannya dengan tingkah laku menyalahi agama dan moral. Dalam masa yang sama timbul rasa curiga untuk mendekati dan berinteraksi secara dekat dengan alasan takut dijangkiti. Sekalipun bukan atas alasan takut dijangkiti, keinginan untuk mendekati pesakit HIV dan AIDS tidak terzahir secara spontan seperti mana yang sepatutnya berlaku dalam jalinan sebuah anggota masyarakat. Jika ada anggota masyarakat yang menghidap penyakit diabetis, hipertensi, strok atau jantung, anggota masyarakat yang lain dengan cepat akan melahirkan rasa simpati dan melakukan ziarah ke atas pesakit.
Di samping itu, walaupun ada beberapa jenis penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit berjangkit seperti influenza, campak (measles), cacar (chicken pox) dan tibi, namun penerimaan masyarakat terhadap individu yang dijangkiti penyakit ini berbeza dan lebih terbuka. Malahan bagi sesetengah anggota masyarakat yang melawat pesakit-pesakit ini tidak pula mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada jangkitan seperti yang disarankan oleh doktor dengan alasan tidak mahu pesakit merasa terhina dengan keadaan mereka. Berlainan dengan pesakit HIV dan AIDS, walaupun anggota masyarakat dapat melihat derita fizikal dan adakalanya merasai derita emosi yang ditanggung oleh mereka, anggota masyarakat memilih untuk tidak memberikan simpati kepada golongan ini. Sekalipun wujud perasaan simpati dan kasihan, ia tidak disusuli dengan pertolongan dan sokongan fizikal, bahkan secara terbuka atau berhemah mereka cuba menjauhkan diri daripada pesakit HIV dan AIDS.
Menyedari tindakbalas pasif masyarakat terhadap pesakit HIV dan AIDS, kebanyakan individu yang disahkan menghidap penyakit ini memilih untuk merahsiakan identiti mereka sebagai pesakit HIV dan AIDS. Kajian Fatan Hamamah ( 2005) menunjukkan majoriti informan (47 informan HIV Seropositif dan 10 Informan AIDS) memilih untuk tidak memberitahu keadaan mereka yang telah dijangkiti HIV kepada orang lain termasuk kepada ahli keluarga terdekat. Kesemua informan takut kepada diskriminasi, penyisihan dan kemungkinan dibiarkan bersendirian semasa terlantar sakit oleh orang-orang di sekeliling mereka. Pendedahan tentang status diri yang HIV positif sekaligus boleh menyebabkan identiti mereka yang selama ini tersembunyi atau private (identiti gay, pelacur atau penagih) diketahui umum. Apabila identiti private mereka diketahui, bukan hanya pesakit yang menerima tindakbalas disisihkan, bahkan keluarga mereka juga akan menerima akibatnya.
Pesakit HIV dan AIDS akan melalui dua tahap identiti pesakit iaitu tahap HIV dan tahap AIDS. Tidak semua pesakit yang dijangkiti HIV akan mendapat AIDS, walau bagaimanapun ia tetap akan berakhir dengan kematian. Pesakit yang mempunyai virus HIV yang berterusan yang akan membawa kepada AIDS berlaku mengikut kadar yang berlainan. Jangkamasa inkubasi virus HIV untuk bertukar daripada saat pendedahan kepada virus sehingga menjadi penyakit AIDS adalah berbeza-beza mengikut individu, mungkin mengambil masa dua hingga sepuluh tahun (Aminuddin 1992: 48). Bahkan sesetengah individu yang dijangkiti HIV bebas daripada AIDS selama 14 tahun atau lebih (Bloor 1995: 6).
Pada tahap pertama iaitu tahap HIV, pembawa virus ini tidak menunjukkan sebarang gejala kesakitan atau cuma mengalami pembengkakan limfadenopati yang berterusan (Aminuddin 1992: 48). Oleh sebab waktu pengeraman HIV memakan masa yang lama tanpa sebarang simpton, pesakit yang telah disahkan mempunyai virus HIV boleh menyembunyikan identiti mereka sebagai pesakit HIV. Mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat seperti biasa kerana mereka kelihatan sihat. Kerahsiaan identiti ini boleh berlaku sama ada secara langsung iaitu bagi pesakit yang telah mengetahui status HIV mereka dan secara tidak langsung iaitu bagi mereka yang tidak mengetahui bahawa mereka telah dijangkiti HIV terutama bagi golongan dalam kategori mangsa.
Pada tahap kedua, iaitu apabila virus HIV merebak ke tahap AIDS, pesakit mula mengalami simpton-simpton AIDS. Kebanyakan pesakit mula sedar akan masalah kesihatan mereka pada peringkat ini dan mula berjumpa doktor. Pesakit boleh mengalami gejala-gejala seperti demam melebihi 38c, berat badan berkurangan melebihi 10%, pembengkakan kelenjar, cirit-birit, letih, kurang daya fizikal, berpeluh malam dan sebagainya (Aminuddin 1992: 47). Pada peringkat ini sistem keimunan pesakit amat terjejas. Pelbagai jangkitan opurtunis dan tumor akan terjadi sehingga boleh menyebabkan kematian seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), tibi, kandidiasis, sarkoma kaposi, kanser kulit, kanser pada anorektus (kawasan anus), limforma dan sebagainya (Aminuddin 1992: 48).
Pada tahap ini, walaupun gejala AIDS telah mulai kelihatan, pesakit-pesakit AIDS masih boleh menyembunyikan identiti sebenar mereka sebagai pesakit AIDS kecuali jika identiti seksual, pekerjaan dan identiti sebagai penagih dadah telah terbongkar lebih awal. Ini kerana AIDS adalah penyakit yang berangkai dengan pelbagai penyakit lain. Maka pesakit AIDS boleh memaklumkan masyarakat bahawa mereka adalah pesakit tibi, barah, kanser kulit atau sebagainya demi mengelakkan diskriminasi dan prejudis masyarakat terhadap mereka sekiranya status mereka sebagai pesakit AIDS terdedah. Sifat penyakit AIDS yang berangkai dengan penyakit lain ini juga boleh mengelirukan penghidap dan juga pengamal perubatan seperti doktor dan pembantu hospital dalam membuat diagnosa yang tepat (Aishah 2000: 540).
Selain itu, sifat penyakit ini yang berjangkit dan berangkai dengan penyakit lain mengundang risiko yang amat berbahaya kepada mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit-pesakit AIDS sama ada golongan pesakit yang sengaja menyembunyikan identiti pesakit mereka atau golongan yang sememangnya tidak pernah tahu bahawa dirinya telah dijangkiti AIDS. Mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit ini pastinya tidak mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan AIDS kerana mereka menyangkakan status pesakit tersebut adalah berkaitan penyakit yang berangkai tadi.
Mengetahui identiti pesakit HIV dan AIDS adalah sangat penting dalam usaha mengurangkan penyebaran jangkitan penyakit ini. Namun bagaimanakah ia akan tercapai jika pesakit sendiri merahsiakan identiti mereka? Tambahan pula sehingga kini belum ada undang-undang yang mewajibkan mereka mendedahkan status penyakit mereka kepada umum. Dalam hal ini, kejujuran, keberanian dan keyakinan dalam diri pesakit HIV dan AIDS untuk menghadapi kenyataan satu-satunya harapan yang ada supaya mereka mendedahkan identiti mereka sebagai pesakit AIDS terutama kepada ahli keluarga terdekat seperti isteri, suami, anak-anak, ibu bapa dan mereka yang menjaga pesakit ini ketika terlantar sakit bagi mengelakkan HIV dan AIDS daripada terus mengjangkiti orang lain.
Kita mengharapkan pesakit-pesakit AIDS ini tidak melakukan kesilapan berganda. Sekiranya mereka telah melakukan kesilapan dengan melacur atau melanggan pelacur, menagih dadah dan melakukan hubungan seks luar tabii, kesilapan ini tidak sepatutnya ditambah dengan menyebarkan virus berbahaya ini kepada orang lain. Ini kerana suatu masa apabila identiti seseorang pesakit terdedah dan dia diketahui menjadi punca kepada jangkitan penyakit ini, kebencian dan kemarahan terhadapnya terutama oleh ahli keluarga terdekat seperti isteri dan anak-anak akan berpanjangan walaupun selepas kematiannya. Untuk melihat mereka berterus-terang tentang penyakit yang dihidapi, penghidap HIV dan AIDS ini memerlukan sokongan moral melalui penerimaan terbuka ahli keluarga dan masyarakat terhadap kesilapan mereka. Sokongan ahli keluarga dan masyarakat akan memberi kekuatan kepada mereka untuk berdepan dengan realiti, sementara keikhlasan seorang pesakit untuk merubah cara hidupnya pula akan melahirkan keterbukaan dan sokongan masyarakat terhadapnya. Justeru, kedua-dua pihak perlu bertindak serentak dalam menangani isu ini.
IDENTITI SEBAGAI PENAGIH
Penagihan dadah boleh ditakrifkan sebagai pengambilan dadah dengan apa cara sekalipun di luar batas sosial dan perubatan sesuatu kebudayaan. Kebiasaannya penagih akan sentiasa mengambil dadah dan leka dengan ketagihan kerana amat sukar untuk meninggalkan amalan penagihan. Kebanyakan penagih akan terjerumus dengan ketagihan dadah sehingga akhir hidup mereka. Penagihan dadah telah didefinisikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu keadaan psikik dan kadangkala fizikal yang diakibatkan oleh interaksi di antara organisma hidup dan dadah (Rusli 1997: 62).
Faktor yang menyebabkan seseorang penagih terlibat dengan kegiatan penagihan adalah disebabkan oleh tekanan hidup yang melampau. Tekanan hidup ini berpunca daripada konflik diri penagih dadah itu sendiri. Penagih tidak dapat mengawal emosi yang terlalu kuat seperti marah, dengki, sedih dan tidak mendapat kepuasan dari segi rohani menyebabkan mereka berasa tidak tenteram, gelisah dan runsing. Keadaan ini menyebabkan mereka mudah untuk melakukan sesuatu di luar kawalan dan memilih dadah sebagai cara untuk melupakan masalah.
Tekanan hidup ini juga berpunca daripada pengaruh persekitaran yang drastik. Pengaruh persekitaran ini seperti tekanan kerja, keluarga, rakan, dan masalah kewangan yang boleh menggangu diri dan pemikiran penagih dadah. Konflik di antara gaya hidup baru dengan cara tradisi boleh mengakibatkan seseorang itu membelakangkan nilai serta tatasusila bangsa dan menimbulkan pelbagai masalah kekeluargaan (Rusli 1997: 65). Kajian Rosmini (2000) mendapati sebelum penagih terjebak dengan dadah, hubungan mereka dengan keluarga sangat erat di samping segala curahan kasih-sayang diberikan kepada mereka. Penagih di awal penagihan biasanya adalah seorang yang baik yang tidak mendatangkan masalah kepada keluarga. Namun setelah terjebak dengan kuman HIV dan AIDS ini, emosi mereka akan lebih terganggu dan tidak boleh berfikir secara rasional.
Selain itu, punca yang menyebabkan individu terjerumus dalam penagihan ini kerana sifat ingin mencuba sesuatu yang baru dan pelik, ingin membaiki prestasi diri, dan pengaruh rakan-rakan. Pengaruh rakan-rakan adalah punca utama individu terlibat dalam dunia penagihan dadah. Dengan pengaruh rakan-rakan daripada golongan penagih, individu yang bermasalah mungkin beralih kepada penagihan dadah sebagai jalan penyelesaian tanpa menyedari yang kini ia telah merumitkan lagi masalah yang sedia ada. Akhirnya mereka ini akan terjebak dengan satu tabiat yang sukar dilepaskan (Rusli 1997: 65).
Tidak semua bentuk penagihan menjadi punca jangkitan dan penyebaran HIV dan AIDS. HIV dan AIDS hanya akan tersebar jika penagih dadah mengambil dadah secara suntikan, berkongsi jarum suntikan dan jarum suntikan itu pula tercemar dengan virus HIV. Biasanya dalam aktiviti perkongsian jarum suntikan, terdapat sedikit darah dalam jarum suntikan yang telah digunakan dan ini boleh dipindahkan daripada seorang penagih dadah kepada penagih dadah yang lain. Lebih banyak darah yang terlibat, lebih tinggi risikonya. Nutrisi yang kurang baik, tekanan fizikal dan psikologi serta penagihan dadah itu sendiri boleh merencatkan sistem imun seseorang penagih dadah dan menjadikannya rentan terhadap pelbagai jangkitan termasuk AIDS (Rusli 1997: 66).
Kebanyakan pesakit HIV dan AIDS memilih untuk merahsiakan identiti mereka sebagai pesakit adalah disebabkan mereka tidak mahu identiti punca penyakit terdedah kepada umum. Mereka cuba mengelak daripada didiskriminasikan dan diprejudiskan oleh keluarga dan masyarakat kerana jangkitan HIV dan AIDS yang dihidapi oleh mereka berpunca daripada tingkah laku yang menyalahi norma-norma dalam masyarakat iaitu penagihan dadah.
Identiti penghidap HIV yang mengambil dadah untuk peningkatan diri atau dinamakan penagih kurang tegar biasanya tidak dapat diketahui. Penampilan diri yang lebih terurus, pekerjaan yang baik dan pergaulan sosial yang lebih luas menyebabkan masyarakat kurang mengesyaki mereka adalah penagih dadah. Apabila dijangkiti HIV, mereka boleh menyembunyikan identiti mereka dengan alasan mereka menghidap penyakit biasa seperti demam dan batuk. Pada peringkat ini, mereka masih boleh bergaul dengan masyarakat dan melakukan aktiviti seharian dengan baik kerana mereka dianggap sebagai seorang yang sihat. Tambahan pula kuman HIV ini tidak memberi kesan yang teruk berbanding AIDS. Penagih dadah seperti ini akan lebih efektif dan cenderung untuk menonjolkan prestasi yang baik kerana kesan dadah yang digunakan sebagai perangsang membolehkan mereka melakukan aktiviti sosial dengan baik. Pada tahap jangkitan AIDS pula, identiti sebagai penagih sekaligus penghidap AIDS masih boleh disembunyikan dengan mengaitkan sakit yang dialami dengan penyakit-penyakit berangkai yang lain.
Namun, bagi penagih tegar, agak sukar untuk mereka menyembunyikan identiti sebagai pesakit HIV dan AIDS kerana identiti mereka sebagai penagih dadah tegar biasanya telah terserlah lebih awal sebelum mereka dijangkiti HIV dan AIDS lagi. Penagihan dadah adalah satu bentuk ketagihan yang sukar dikawal dan dibuang dari diri penagih. Apabila terjebak dengan penagihan dadah, peratusan untuk kekal sebagai penagih bahkan semakin tegar dari hari ke hari adalah sangat tinggi. Walaupun ada yang berjaya pulih daripada penagihan dadah tetapi bilangannya amat kecil dan sentiasa memerlukan sokongan sosial yang padu daripada ahli keluarga, masyarakat dan persekitaran. Dalam keadaan yang telah pulih itu pun mereka perlu berhati-hati dan mengelakkan diri daripada mendekati golongan penagih aktif kerana dibimbangi ketagihan yang ada dalam diri mereka sebelum ini akan muncul kembali.
Bagi penagih tegar, walaupun berusaha untuk mengelakkan tingkah laku penagihan mereka diketahui oleh keluarga dengan alasan tidak mahu melukakan dan memalukan keluarga, atau daripada pihak berkuasa kerana tidak mahu ditangkap dan dihantar ke penjara atau pusat pemulihan, mereka secara tidak sedar sedikit demi sedikit mula mendedahkan identiti sebagai penagih dadah akibat daripada ketagihan yang tidak dapat dikawal. Penagih tegar mudah dikenal pasti oleh masyarakat terutama yang berada dalam lingkungan sosial yang sama berdasarkan sifat atau tingkah laku penagih yang berunsur negatif di samping pengalaman mereka berinteraksi dalam kehidupan seharian.
Corak tingkah laku penagih yang gemar berkawan sesama mereka sehingga secara tidak langsung membentuk kumpulan sosial mereka sendiri memudahkan lagi identiti penagih mereka dikesan. Penampilan diri yang tidak terurus dan tidak bersih dari segi pemakaian, berwajah kotor, berbadan kurus, cengkung, mata berair dan kelihatan lesu juga menjadi identiti fizikal seorang penagih tegar. Sebelum dijangkiti HIV, identiti sebagai penagih dadah sudah pun menimbulkan prejudis dalam kalangan masyarakat. Mereka dianggap golongan yang rendah moral, tidak disukai dan tidak boleh dipercayai. Oleh sebab itu, sekiranya berlaku kecurian dalam kawasan kejiranan, golongan penagih dadah biasanya yang akan menjadi sasaran utama sebagai pelaku kecurian tersebut sekalipun bukan mereka yang melakukan. Ia adalah antara bentuk stigma yang terpaksa dihadapi oleh seorang penagih dadah.
Penagih dadah yang telah mula terjebak dengan gejala AIDS akan mengalami tanda –tanda seperti pening, batuk demam dan akan mudah terkena penyakit seperti kanser, strok dan masalah kesihatan yang kronik. Hal ini kerana kuman–kuman HIV sudah mula mengganggu sistem imun dalam badan penagih. Penagih yang dijangkiti AIDS ini akan berada dalam keadaan yang terlalu lemah. Emosi mereka juga akan turut terganggu seperti panas baran, bercakap mengarut dan mengamuk. Pada tahap ini masyarakat mula mengesyaki bahawa mereka telah dijangkiti HIV dan AIDS terutama bagi sebuah masyarakat yang bilangan penagihnya ramai. Pengalaman seharian berhadapan dengan golongan penagih menjadikan mereka sudah dapat mengenal ciri-ciri seorang penagih. Oleh itu amat sukar untuk golongan penagih tegar menyembunyikan identiti mereka sebagai pesakit HIV dan AIDS. Mereka adalah golongan yang paling berisiko diabaikan jika mengalami sakit yang teruk bukan sahaja oleh anggota masyarakat tetapi ahli keluarga sendiri. Mereka beranggapan golongan penagih ini tidak perlu diberikan simpati sekalipun mengalami sakit yang teruk kerana ia berlaku atas pilihan mereka. Mereka memilih jalan yang salah dan akibatnya mereka perlu menanggungnya sendiri.
IDENTITI PEKERJAAN (PELACUR ATAU PEKERJA SEKS)
Manusia memerlukan pekerjaan untuk hidup selesa. Pekerjaan memberikan pendapatan dan pulangan berbentuk wang yang boleh digunakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan. Terdapat pelbagai jenis pekerjaan di dunia ini, ada yang diiktiraf oleh masyarakat dan ada yang tidak. Pengiktirafan ini bergantung kepada sistem nilai, kepercayaan dan budaya yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat. Salah satu pekerjaan yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan masyarakat di dunia sebagai pekerjaan walaupun ia memberikan pulangan pendapatan ialah pelacuran atau pun perkhidmatan seks. Akta Perlindungan Wanita dan Gadis, 1973 mentakrifkan pelacuran sebagai:
“…perbuatan seorang perempuan menawarkan tubuhnya untuk perhubungan jenis secara sembarangan kerana sewa sama ada berupa wang atau barang…”.
Ia adalah satu bentuk pekerjaan yang melibatkan pertukaran perkhidmatan seks dengan bayaran. Walaupun pekerjaan ini muncul dalam masyarakat sejak sekian lama dan dianggap sebagai pekerjaan tertua di dunia, bahkan semakin berkembang sehingga menjadi produk pelancongan (sex tourism) di sesetengah Negara seperti Thailand dan Filipina (Bloor 1995: 23), ia tetap kekal sebagai satu bentuk pekerjaan yang tidak diiktiraf oleh agama, budaya dan undang-undang. Bagi masyarakat Islam pelacuran adalah perzinaan, iaitu satu bentuk tingkah laku yang menyimpang daripada agama. Ia adalah perbuatan yang jijik, kotor , dan hina yang dikategorikan sebagai dosa besar. Di Iran, pemerintah tertingginya iaitu Ayatullah Khomeini pernah menghukum bunuh tiga orang wanita yang diketahui menjadi pelacur dan agen pelacuran (Abdul Hadi 1980: 29).
Walaupun wanita-wanita yang terlibat dengan pelacuran memberikan sebab kemiskinan, tekanan akibat perceraian atau dirogol, terpengaruh dengan teman lelaki atau teman-teman sebagai faktor yang menjerumuskan mereka ke dalam aktiviti pelacuran, masyarakat enggan menerima alasan tersebut untuk mengiktiraf pelacuran sebagai pekerjaan kerana masih ramai wanita yang miskin, diceraikan dan mengalami pengalaman pahit dirogol atau sebagainya yang tidak menjadi pelacur, sebaliknya memilih pekerjaan yang diiktiraf oleh masyarakat. Tambahan pula, masyarakat berpandangan bahawa masih banyak pekerjaan lain yang boleh memberikan pendapatan boleh menjadi pilihan mereka. Mereka boleh memilih dan tidak sepatutnya mereka memilih pekerjaan yang dianggap kotor tersebut. Bagi wanita yang terlibat dalam pelacuran kerana dipaksa secara zalim sama ada oleh suami, teman lelaki, bapa ayam atau sindiket pelacuran juga tidak terlepas daripada menerima tanggapan berbentuk prejudis ini. Walaupun mereka dipaksa, mereka juga akan merasa hina, kotor dan tersisih daripada masyarakat kerana masyarakat hanya menilai berdasarkan apa yang dilihat. Tanpa mengetahui dan meneliti latar belakang penglibatan wanita-wanita yang terjerumus dalam aktiviti pelacuran, semua pelacur dilabelkan sebagai tidak bermaruah dan pelaku dosa.
Justeru, walaupun pelacuran dianggap sebagai pekerjaan oleh para pelacur khususnya yang terlibat atas pilihan sendiri, ia tidak pula dijalankan secara terbuka, sebaliknya dilakukan secara sembunyi, berselindung di sebalik perniagaan yang dibenarkan, dilakukan dalam kelompok-kelompok tertentu yang terasing daripada masyarakat umum dan hanya diketahui oleh mereka yang mempunyai hubungan ‘perniagaan’ dengan mereka sahaja. Ini kerana selain daripada mengelakkan daripada ditangkap oleh pihak berkuasa, ia juga disebabkan kesedaran mereka bahawa pekerjaan sebagai pelacur tidak diterima di dalam masyarakat dan individu yang terlibat sebagai pelacur perlu berdepan dengan hinaan, diskriminasi dan penyisihan.
Oleh sebab itu, apabila dijangkiti HIV dan AIDS, adalah penting untuk tidak mendedahkan identiti mereka sebagai pesakit kerana dengan mendedahkannya bermakna identiti mereka sebagai pelacur juga akan diketahui umum. Tekanan yang diterima pastinya bertambah, daripada hinaan ke atas pekerjaan mereka kepada penyakit HIV dan AIDS yang dialami pula, sekaligus menyukarkan mereka untuk hidup bersama dalam masyarakat terutamanya sekiranya mereka berhasrat untuk meninggalkan pekerjaan terbabit dan memulakan hidup baru. Tambahan pula bagi seorang wanita, yang mana budaya mentakrifkan mereka sebagai golongan yang lemah, lebih beremosi, perlu dilindungi dan amat bergantung kepada lelaki, pastinya menghadapi tekanan yang amat sukar untuk menjalani kehidupan sebagai pesakit HIV dan AIDS seorang diri tanpa sokongan sosial daripada orang-orang di sekeliling mereka terutama apabila berada dalam tahap kritikal jangkitan. Justeru apabila telah dijangkiti, mereka seakan mengakui bahawa pekerjaan yang mereka lakukan ini adalah salah dan mereka telah menerima akibatnya. Ketika ini keinginan untuk kembali kepada keluarga dan masyarakat mula terzahir tetapi tidak ramai yang mampu berbuat demikian kerana tidak yakin mereka akan diterima kembali ke dalam masyarakat .
IDENTITI SEKSUAL
Penerimaan masyarakat terhadap seks adalah berbeza-beza mengikut budaya setempat. Masyarakat Barat mungkin lebih terbuka terhadap persoalan seks berbanding masyarakat Timur. Bagi masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam, persoalan seks adalah sesuatu yang sensitif. Ia tidak boleh dibicarakan secara terbuka. Tingkahlaku seksual adalah salah satu bentuk perlakuan yang paling banyak dikawal oleh peraturan-peraturan sosial. Setiap aspek pergerakan seksual manusia mempunyai peraturan-peraturan kawalan masing-masing yang ketegasannya bergantung kepada nilai-nilai sosial dalam masyarakat (Abdul Hadi 1980:3). Norma-norma sosial menentukan bahawa hanya perlakuan seks tertentu sahaja boleh dibenarkan dan hendaklah dilakukan dengan cara-cara tertentu (Abdul Hadi 1980: 6). Masyarakat telah menetapkan bahawa perlakuan seks adalah sesuatu yang harus dilakukan di tempat tertutup, harus dilakukan dengan pasangan yang sah (yang dinikahi) dan dilakukan mengikut aturan-aturan tertentu.
HIV dan AIDS adalah penyakit berstigma yang mengandungi makna sosial, moral dan agama. Apabila disebut HIV dan AIDS, secara spontan pendengar akan mengaitkannya dengan identiti seksual pesakit memandangkan tingkah laku seks adalah antara saluran jangkitan dan penyebaran HIV dan AIDS yang paling utama. Heteroseksual, homoseksual dan biseksual adalah tiga tingkah laku seksual yang menyumbang kepada penyebaran HIV dan AIDS .
Heteroseksual ialah bentuk hubungan seks lazim yang berlaku di antara lelaki dan wanita. Dalam kalangan heteroseksual, penyebaran penyakit ini sebahagiannya ditentukan oleh kadar pertukaran pasangan dan perubahan pasangan dalam populasi. Oleh itu tingkah laku seksual golongan heteroseksual ini akan mempercepatkan lagi penyebaran HIV dan AIDS (Aishah 2000: 553). Semakin kerap bertukar-tukar pasangan, semakin tinggi risiko jangkitan HIV dan AIDS akan berlaku lebih-lebih lagi jika pasangan yang terlibat terdiri daripada pekerja seks, penagih dadah ataupun mereka yang telah dijangkiti.
Homoseksual pula ialah bentuk hubungan seks sesama jenis yang melibatkan lelaki dengan lelaki (gay) dan wanita dengan wanita (lesbian). Namun apabila disebut homoseksual, pemahaman masyarakat lazimnya merujuk hanya kepada hubungan di antara lelaki dengan lelaki. Saluran jangkitan HIV dan AIDS juga menunjukkan homoseksual jenis ini adalah yang paling berisiko dijangkiti dan menyebarkan jangkitan HIV dan AIDS kepada individu lain berbanding homoseksual wanita dengan wanita. Di Malaysia, perilaku homoseksual tidak menjadi saluran utama penyebaran HIV dan AIDS tetapi di Benua Eropah, Amerika dan Kanada, perilaku homoseks menjadi pola pembawa HIV terpenting (Rusli 1997: 5).
Perilaku homoseksual bukan sesuatu yang baru, ia telah bermula sejak zaman nabi Luth lagi seperti yang tercatat di dalam Al Qur’an. Perilaku ini walaupun menyalahi norma dalam masyarakat, ia tetap menjadi pilihan hidup bagi segelintir individu. Sejarah HIV dan AIDS juga bermula dengan golongan homoseksual sehinggakan pada peringkat awal wabak ini berlaku, ramai yang beranggapan HIV dan AIDS hanya menyerang golongan ini sahaja.
Lelaki homoseksual terbahagi kepada beberapa golongan iaitu golongan yang menyukai lelaki dan wanita dalam satu masa atau dinamakan sebagai biseksual, golongan yang hanya meminati lelaki homoseksual sahaja, golongan yang hanya meminati lelaki sejati dan golongan yang menyukai lelaki lembut atau pondan (Fatan Hamamah 2005 :173). Dalam hubungan homoseksual, salah seorang akan bertindak sebagai ‘perempuan’ dan seorang lagi sebagai lelaki. Lelaki yang bertindak sebagai ‘perempuan’ lebih berisiko dijangkiti HIV berbanding yang lelaki. Ramai pakar percaya HIV dan AIDS mudah tersebar dalam kalangan homoseksual disebabkan amalan hubungan berbentuk hubungan luar tabii.
Homoseksual, biseksual dan heteroseksual termasuk pelacur atau pekerja seks, walaupun berbeza kategori tetapi mempunyai persamaan dari sudut identiti sebagai pesakit HIV dan AIDS. Persamaan utama ialah kesemua kategori ini mendapat jangkitan melalui saluran yang sama iaitu melalui hubungan seks yang menyimpang dari norma-norma sosial. Persoalan seks menjadi latar utama kehidupan golongan-golongan ini. Perspektif seks mereka pula amat berbeza daripada perspektif yang diamalkan oleh masyarakat umum. Namun, perbezaan ini tidak pula mahu ditonjolkan kepada masyarakat umum dan ia hanya ekskusif dalam kelompok mereka sahaja. Walaupun pekerja seks percaya bahawa perbuatan mereka memperdagangakan diri sebagai perbuatan yang betul (Aishah 2000: 546) dan melakukan hubungan seks sesama jenis untuk memenuhi naluri seks mereka juga sebagai perbuatan yang betul, tetapi mereka tidak pula mengisytiharkan diri mereka sebagai pekerja seks atau homoseksual khususnya dalam masyarakat yang melarang perbuatan ini. Ini kerana tingkah laku seks kedua-dua golongan ini daripada kacamata masyarakat umum atau budaya dominant adalah salah dan tidak bermoral (Aishah 2000: 546).
Justeru, apabila golongan ini memilih cara bertingkah laku seks yang bertentangan dengan budaya dominant iaitu dengan menjadikan hubungan seks sebagai bahan dagangan, melakukan hubungan seks luar nikah, melakukan hubungan seks dengan ramai pasangan dan secara luar tabii, masyarakat akan melabelkan mereka sebagai individu-individu yang devian. Apabila dijangkiti HIV dan AIDS, masyarakat akan memberikan hukuman sosial kepada golongan ini dengan menyisihkan mereka. Mereka dianggap sebagai pelaku dosa dan kesakitan yang mereka tanggung itu adalah sebagai hukuman tuhan terhadap salah laku serta perspektif seks mereka yang salah. Oleh sebab itu, pesakit-pesakit HIV dan AIDS yang mendapat jangkitan daripada tingkah laku menyimpang ini memilih untuk tidak mendedahkan identiti mereka sebagai pesakit AIDS demi mengelakkan identiti seks mereka yang menyimpang diketahui umum.
IDENTITI SUB BUDAYA
Sub budaya adalah sesuatu kepercayaan dan perspektif yang dipinjam bentuknya daripada kebudayaan teras. Dalam kata lain, sub budaya adalah cara hidup sesuatu kumpulan masyarakat yang boleh dikenal pasti dengan jelasnya. Sesuatu sub budaya merupakan sebahagian daripada kebudayaan keseluruhan dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang membolehkan kita membezakannya daripada kebudayaan yang lebih luas lagi. Perbezaan ini mungkin dapat dilihat dari segi bahasa, pakaian, adat resam, norma dan lain-lain (Norazit 1993: 166-167).
Kelompok sub budaya yang berperanan dalam menyebarkan virus HIV dan AIDS terdiri daripada penagih dadah, pelacur atau pekerja seks serta golongan heteroseksual, homoseksual dan biseksual. Sub budaya ini berkongsi nilai, pandangan, matlamat, persekitaran, tekanan dan masalah yang sama serta terlibat dengan aktiviti yang sama. Persamaan ini menyatukan dan seterusnya mewujudkan solidariti dalam kalangan mereka. Mereka mempunyai cara pertuturan, cara berpakaian, cara bertingkah laku dan sikap tersendiri yang sukar difahami oleh golongan lain. Selain itu mereka sangat akrab, saling tolong-menolong serta sangat teguh menyimpan rahsia sesama mereka (Aishah 2000: 546-547).
Golongan penagih sebagai contoh, mempunyai hubungan yang sangat rapat sesama mereka. Konsep tolong-menolong, berkongsi dan setia dalam menjaga rahsia sangat terserlah dalam kelompok penagih dadah. Jangkitan HIV dan AIDS yang diperolehi melalui perkongsian jarum suntikan yang telah tercemar sudah pun menggambarkan ikatan yang wujud dalam kalangan penagih-penagih dadah ini. Akibat daripada konsep perkongsian dalam kumpulan inilah yang menjadikan HIV dan AIDS tersebar dengan begitu cepat dalam kalangan penagih dadah. Sekiranya tiada amalan perkongsian (jarum suntikan) dalam kalangan penagih dadah, sebaliknya melakukan aktiviti penagihan secara bersendirian, mungkin penyebaran HIV dan AIDS dapat dikurangkan.
Perkongsian ini bukan hanya melibatkan jarum suntikan tetapi mereka juga turut berkongsi maklumat untuk mendapatkan bekalan, tempat melakukan aktiviti menagih dan berkongsi rahsia keterlibatan mereka dalam aktiviti penagihan dadah supaya tidak terdedah kepada umum. Hubungan rapat para penagih ini juga jelas dapat dilihat apabila salah seorang daripada kalangan mereka meninggal dunia akibat HIV dan AIDS, ketika anggota masyarakat bahkan ahli keluarga sendiri menjauhkan diri daripada membantu pengurus jenazah memandikan dan mengkafankan mayat, merekalah yang aktif mengambil peranan tersebut. Sifat kebersamaan mereka terserlah hingga ke saat akhir kematian teman mereka.
Sementara itu, walaupun ciri-ciri penagih dadah, pelacur dan golongan homoseksual dan biseksual berbeza, tetapi apabila dilihat dalam kalangan satu-satu sub budaya ini terdapat persamaan di antara mereka. Mengapa ketiga-tiga golongan ini terlibat dengan tingkah laku yang sama iaitu tingkah laku yang menyimpang? Ia mempunyai kaitan dengan cara mereka disosialisasikan. Ketiga-tiga golongan ini biasanya dibesarkan dalam suasana dan persekitaran yang hampir sama. Pandangan dan persekitaran inilah yang membentuk kepercayaan mereka untuk membuat pilihan dalam hidup. Mereka biasanya terdiri daripada individu-individu yang tidak mendapat jagaan yang sempurna daripada ibu bapa atau keluarga masing-masing sama ada dari segi kasih sayang, perhatian, didikan dan kawalan. Jagaan yang tidak sempurna ini pula mungkin disebabkan oleh kemiskinan, kejahilan dan kesibukan. Ibu bapa atau ahli keluarga tidak memberikan mereka panduan yang betul bagaimana untuk menjalani hidup ini dengan baik selaras dengan norma-norma sosial dan aturan agama. Mereka dibiarkan mencari dan menentukan makna kehidupan secara sendiri. Rasa ‘kekosongan’ dalam diri akhirnya membawa mereka kepada mencari sesuatu yang dapat memberikan mereka kegembiraan dan keseronokan mengikut tafsiran mereka sendiri dan akhirnya terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang menyimpang ini. Mereka percaya bahawa pilihan yang mereka buat ini adalah betul kerana ia memberikan mereka rasa gembira dan seronok.
IDENTITI MANGSA
HIV merupakan penyakit yang senang dan mudah berjangkit, jangkitan HIV boleh terjadi melalui berbagai cara yang lazim tidak disedari oleh mereka yang terlibat, secara sedar atau tidak biasanya mereka yang terkena jangkitan biasanya tidak pernah menduga bahawa mereka juga akan menjadi mangsa seterusnya, antara mereka yang senang terdedah kepada jangkitan HIV dan AIDS kebiasaannya langsung tidak menyedari bahawa individu di sekitar mereka sebenarnya adalah pesakit HIV. Hal ini menyebabkan mereka langsung tidak mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak menduga situasi tersebut. Antara yang mudah menjadi mangsa ialah :
Isteri
Seorang isteri mudah menjadi mangsa jangkitan HIV sekiranya mendapat suami yang mengamalkan seks bebas dan suka melanggani pelacur. Suami yang mempunyai tabiat suka bertukar-tukar pasangan seks sangat berisiko tinggi untuk dijangkiti virus HIV memandangkan pelacur yang dilanggani sering bertukar-tukar pasangan seks. Walaupun para pelacur ini boleh menggunakan kondom sebagai langkah keselamatan daripada dijangkiti, namun tidak semua pelanggan mahu menggunakan kondom menyebabkan mereka terpaksa bersetuju untuk melakukan hubungan seks yang berisiko. Sekalipun menggunakan kondom, ia juga bukan jaminan mutlak jangkitan HIV dapat dielakkan kerana kualiti kondom adalah berbeza-beza.
Adakalanya para suami yang telah dijangkiti virus HIV tidak menyedari bahawa virus HIV sudah berada dalam diri mereka. Ini kerana tanda-tanda awal jika dijangkiti virus HIV adalah tanda biasa seperti demam yang mana kebiasaannya pesakit hanya mengalami sakit tekak, batuk-batuk dan sakit kepala. Malah tanda-tanda tersebut hanya akan muncul selepas 2 minggu hingga 6 minggu selepas kuman tersebut berada di dalam badan pesakit. Ini adalah salah satu faktor yang membuatkan kebiasaannya pesakit tidak tahu bahawa mereka sudah dijangkiti dan biasanya mereka akan bergaul dan melakukan hubungan seks dengan isteri masing-masing tanpa memikirkan yang mereka terdedah kepada risiko dijangkiti virus HIV.
Seorang suami yang mampu melanggan pelacur juga kebiasaannya adalah mereka yang tergolong dari golongan yang terpelajar dan berkemampuan dari segi kewangan. Para isteri biasanya tidak akan tahu malah tidak terfikir bahawa suami mereka adalah seorang suami yang mengamalkan amalan seks bebas dan melanggan pelacur kerana para suami ini ‘bijak’ dalam menyembunyikan aktiviti tidak sihat mereka itu. Malahan para isteri juga sering menganggap jika bersuamikan seorang lelaki yang berpelajaran dan berkerjaya, adalah sesuatu yang mustahil suami mereka mahu melakukan perkara yang berbahaya dan berisiko.
Seorang isteri juga berisiko untuk dijangkiti jika suaminya seorang penagih dadah yang telah dijangkiti HIV dan AIDS. Jangkitan tersebut boleh berlaku sama ada melalui hubungan intim suami isteri ataupun melalui penjagaan isteri terhadap suami. Budaya menetapkan bahawa seorang isteri harus menjaga dan menguruskan kehidupan seharian suami termasuk ketika suami sakit. Ketika mengendalikan urusan rumahtangga dan menjaga suami yang sakit, para isteri berisiko tinggi terdedah kepada luka atau apa juga cairan daripada badan suami yang telah dijangkiti. Risiko ini akan berlaku sepanjang hidup selagi mereka bersama.
Janin dan Anak-anak
Virus HIV juga boleh berjangkit pada janin yang dikandung oleh ibu yang telah dijangkiti HIV dan AIDS. Jika jangkitan tidak berlaku di peringkat kandungan, ia boleh berlaku ketika proses kelahiran iaitu jika si ibu dan bayi yang dilahirkan mempunyai luka di tubuh dan bersentuhan kulit antara keduanya atau jika bayi terminum darah ibu yang melahirkannya. Seterusnya jangkitan juga boleh berlaku ketika proses penyusuan jika puting si ibu mengalami luka. Risiko dijangkiti tidak berhenti di peringkat ini sahaja, ia akan berterusan sepanjang mereka hidup bersama.
Anak-anak yang lahir dengan membawa virus HIV kebiasaannya menanggung penderitaan seumur hidup. Mereka yang bertanggungjawab menjaga anak-anak HIV dan AIDS juga menghadapi tekanan yang sama. Ada ketikanya anak-anak HIV dan AIDS ini sendiri tidak faham apa yang berlaku kepada mereka. Hakikatnya mereka hanyalah menjadi mangsa keadaan yang berpunca daripada kesalahan ibu atau bapa mereka. Pergaulan anak-anak yang menghidapi HIV dan AIDS menjadi terbatas. Biasanya pergaulan mereka terhad bersama anak-anak yang juga dijangkiti HIV dan AIDS.
Mereka seperti kanak-kanak yang lain berhak berkawan, bermain, bersekolah dan mendapat pendidikan. Sistem pendidikan tidak pernah menghalang mereka daripada mendapat pendidikan bersama dengan kanak-kanak lain yang bebas daripada HIV dan AIDS. Walau bagaimanapun stigma masyarakat terhadap penyakit HIV dan AIDS menghalang kanak-kanak ini daripada mendapat hak mereka. Kebimbangan ibu bapa dan guru-guru bahawa kanak-kanak HIV dan AIDS ini akan menyebarkan jangkitan menjadikan kehadiran mereka di sekolah sentiasa dicurigai malah dipinggirkan. Ini membuatkan anak-anak mangsa HIV akan berasa malu dan rendah diri kerana mereka sering diejek dan dicemuh.
Persekitaran sosialisasi yang negatif sebegini akan membentuk personaliti negatif pada diri anak-anak ini apabila mereka membesar nanti. Tanpa rangsangan sosial, kasih sayang, keselamatan emosi dan contoh yang betul daripada ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling mereka, ia boleh membantutkan perkembangan mental, fizikal, moral dan emosi anak-anak ini (Fatimah 2000: 348). Apabila dewasa, mereka mungkin menjadi individu yang pendendam kepada masyarakat, membenci ibu bapa sendiri dan terlibat dengan jenayah kesan daripada layanan berstigma masyarakat terhadap mereka.
Paramedik
Paramedik yang bekerja di pusat kesihatan atau hospital seperti doktor, jururawat dan pembantu hospital juga tergolong dalam golongan yang mudah menjadi mangsa HIV. Saban hari mereka berhadapan dengan pelbagai jenis kes yang dibawa oleh pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital termasuk kes-kes kecemasan seperti kemalangan jalan raya. Dalam situasi kecemasan, mereka tidak boleh mengambil sikap terlalu berhati-hati sehingga memperlahankan tindakan kerana dalam pengendalian kes-kes kecemasan, kecekapan dan kecepatan amat penting. Dalam keadaan ini, mereka tiada pilihan dan perlu memberikan khidmat sesegera yang mungkin tanpa menyelidiki latar belakang pesakit.
Profesion sebagai doktor, jururawat dan pegawai atau pembantu makmal merupakan jenis pekerjaan yang berisiko tinggi dijangkiti HIV dan AIDS kerana tugas ini melibatkan hubungan terus dengan darah dan cairan yang keluar dari tubuh pesakit. Situasi-situasi tidak terjangka dan tidak disengajakan seperti tercucuk jarum suntikan yang sudah digunakan, terhiris pisau, tergores akibat terkena pecahan bekas ubat–ubatan, terkena percikan darah atau cairan dari tubuh pesakit merupakan ruang-ruang yang mendedahkan golongan ini kepada jangkitan HIV dan AIDS. Selain dari faktor luar jangka di atas terdapat juga faktor-faktor kecuaian yang memang disebabkan sikap paramedik sendiri seperti lupa untuk memakai sarung tangan ketika memeriksa pesakit atau memegang bahagian badan pesakit yang terluka.
Penerima Darah dan Organ
Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah perumpamaan yang boleh digunakan untuk mereka yang mendapat jangkitan melalui pemindahan darah atau organ. Pemindahan darah atau organ yang disangkakan dapat memberikan penerima harapan untuk hidup akhirnya membawa bencana pula kepada mereka. Walaupun pihak hospital di negara ini telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa dan menguji bekalan darah yang diderma oleh orang awam supaya tidak ada darah yang tercemar dengan HIV dan AIDS, kadang-kadang berlaku juga kesilapan yang tidak disengajakan. Bekalan darah ini dikendalikan oleh manusia dan manusia adalah makluk yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kesilapan ini boleh berlaku di mana-mana dan ke atas sesiapa sahaja. Sesuatu yang malang dan menyedihkan apabila kecuaian yang berlaku ini terpaksa ditanggung akibatnya oleh penerima yang terlibat sehingga akhir hayat. Jika penerima tersebut seorang wanita yang telah berkahwin, kehidupannya sebagai isteri akan berubah. Dia tidak lagi mampu berperanan seperti biasa dan hubungan intim dengan suami akan akan terjejas. Dia akan berasa rendah diri, terpinggir, takut dan mungkin menghadapi tekanan jiwa lebih-lebih lagi jika dia tidak mendapat sokongan moral daripada suami dan ahli keluarga.
Pengurus Jenazah
Apabila seseorang penghidap HIV dan AIDS meninggal dunia, dia masih boleh menyebarkan jangkitan kepada orang lain kerana virus HIV dan AIDS boleh kekal dalam badan seseorang penghidapnya selama seminggu selepas kematiannya. Oleh sebab itu, mereka yang menguruskan mayat sama ada yang memandikan atau mengkafankan yang terdiri daripada kakitangan hospital, imam atau tukang mandi mayat atau ahli keluarga yang membantu perlu mengamalkan prosedur yang ketat dan berhati-hati untuk mengelakkan risiko dijangkiti seperti yang ditetapkan iaitu perlu mempunyai kelengkapan seperti sarung tangan getah, penutup muka, apron pelindung, pelindung mata, kain bersih penutup jenazah, gunting, plaster kedap air, pembalut, bekas buangan, plastik pembungkus barang buangan. Mereka perlu melindungi diri daripada kemungkinan terkena percikan cairan atau pendarahan daripada tubuh pesakit.
Prosedur keselamatan boleh diambil ketika menyelenggara mayat sekiranya punca kematiannya diketahui. Sebaliknya, masalah akan timbul jika punca kematian seseorang yang menghidap HIV dan AIDS tidak diketahui atau cuba disembunyikan oleh pihak keluarga. Ketika ini, mereka yang mengendalikan mayat akan berhadapan dengan risiko mendapat virus ini terutamanya jika urusan menguruskan jenazah ini dilakukan di rumah. Ia pasti diuruskan tanpa sebarang prosedur keselamatan.
Apabila melihat kemalangan jalan raya, ramai dalam kalangan kita bersedia menghulurkan bantuan. Sikap suka menolong adalah amalan murni. Dalam keadaan kecemasan atau kemalangan kita akan bertindak secara spontan, tiada siapa yang sempat bertanya atau menyelidiki latar belakang orang yang terlibat dalam kemalangan sama ada dia pembawa HIV atau tidak. Tanpa kita ketahui dan sedar, mangsa kemalangan yang ditolong itu mungkin pembawa HIV positif. Dalam usaha membantu mangsa kemalangan jalanraya yang cedera parah, ketika ini sentuhan luka dengan luka mungkin akan terjadi di antara mangsa yang ditolong dengan orang yang menolong. Keadaan ini mengundang risiko yang amat berbahaya kepada orang yang menolong.
STIGMA SOSIAL HIV DAN AIDS
HIV dan AIDS adalah sejenis penyakit berstigma. Ia bermaksud HIV dan AIDS bukan penyakit biasa yang melibatkan kesihatan fizikal tetapi lebih luas daripada itu ia berkait dengan agama, moral, nilai dan kepercayaan. Ia juga bermaksud bahawa sesiapa yang dijangkiti penyakit ini harus berhadapan dengan penghinaan, pemulauan, diskriminasi dan prejudis. Pesakit juga tidak dapat mengelak daripada diburu rasa malu, rendah diri, takut, sedih dan pelbagai perasaan negatif lain. Stigma terhadap penyakit HIV dan AIDS berlaku dalam hampir keseluruhan masyarakat di dunia. Kajian Nombo (2007) berkaitan AIDS dan kemiskinan di Tanzania mendapati bahawa pelbagai metafora digunakan untuk menggambarkan pandemik AIDS seperti umeme (electric shock) iaitu “sekali anda dijangkiti HIV dan AIDS, anda pasti mati” kerana kebiasaanya kejutan elektrik akan membunuh serta-merta. Ia juga dinamakan mtandao (network) yang bermaksud penyakit ini adalah berbentuk jaringan yang mana orang yang telah dijangkiti boleh membentuk jaringan jangkitan kepada orang lain. HIV dan AIDS juga dinamakan sebagai mdudu (insect) yakni sifat penyakit AIDS seperti serangga yang boleh menggigit dan memindahkan jangkitan kepada manusia lain melalui gigitan tersebut. Individu-individu yang hidup dengan HIV dan AIDS pula dilabelkan sebagai “a dead person to be” dan “ a moving skeleton”.
Penggunaan metafora ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa bahasa juga boleh memberi kesan dalam mencipta stigma terhadap HIV dan AIDS. Menurut Pertubuhan UNICEFF Malaysia:
“ Bahasa menjana kepercayaan dan mempengaruhi kelakuan. Oleh itu, penggunaan bahasa yang sesuai boleh mencorakkan respons yang betul terhadap HIV dan AIDS. Ada kalanya cerita yang baik berkaitan HIV dan AIDS dirosakkan oleh terminologi berkaitan kematian, kemusnahan, dan kegiatan tidak bermoral yang digambarkan oleh perkataan dan frasa seperti kesengsaraan, penyakit pembawa maut, pembunuh, orang yang berdosa, mangsa, tidak bersalah dan pesakit (kecuali dalam konteks perubatan). Begitu juga dengan cerita televisyen yang sering mengaitkan HIV dengan kepunahan harapan, dan laporan berulang kali yang memberikan idea bahawa “mangsa” berada di ambang maut. Sebaik-baiknya, kekalkan ketepatan tanpa komplikasi keterlaluan ”.
23
Mengapa HIV dan AIDS dianggap penyakit berstigma? Kajian Nombo (2007) menyatakan bahawa sebab utama timbulnya stigma terhadap penyakit HIV dan AIDS ialah kerana kurang pemahaman dan salah tanggapan masyarakat terhadap penyakit ini. Ramai beranggapan bahawa apabila disahkan positif HIV, penghidap HIV akan meninggal dunia dalam masa yang terdekat. Walaupun HIV dan AIDS adalah penyakit yang tidak mempunyai ubat dan akan berakhir dengan kematian, ia bukanlah bermakna kehidupan seseorang akan terus berakhir selepas ia dijangkiti. Tanggapan silap sebeginilah kadang-kadang mempengaruhi pesakit untuk merahsiakan status HIV mereka, tidak mendapatkan rawatan daripada hospital dan tidak menjaga kesihatan secara rutin dan disiplin akibat daripada rasa putus asa untuk hidup. Sedangkan mendapatkan rawatan dan menjaga kesihatan secara rutin dan disiplin itu sangat penting dalam usaha memanjangkan jangka hayat seseorang pesakit. Masyarakat kurang memahami bahawa jangkitan penyakit ini akan melalui dua tahap iaitu tahap HIV dan tahap AIDS. Dalam tahap HIV yang mungkin memakan masa belasan malahan puluhan tahun, pesakit tidak mengalami masalah kesihatan yang teruk, mereka masih kelihatan sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
Selain itu stigma masyarakat terhadap HIV dan AIDS juga berkait dengan sifat penyakit ini yang boleh berjangkit. Perasaan takut dijangkiti HIV dan AIDS merupakan kuasa tarikan yang menarik individu untuk menjauhkan diri daripada mereka yang menghidap HIV dan AIDS. Keadaan ini berkaitan dengan AIDS ini sendiri yang dilihat oleh masyarakat sebagai penyakit berjangkit, bersifat progresif dan mengancam keselamatan dan kesejahteraan komuniti. Masyarakat beranggapan bahawa pesakit HIV dan AIDS boleh memindahkan virus ini kepada orang lain melalui kontak sama ada melibatkan cecair tubuh mahupun tidak. Pada pandangan mereka semua orang boleh terdedah kepada jangkitan HIV dan AIDS sekiranya mereka berhubungan dengan pesakit ini (Fatan Hamimah 2005 :210).
Jika di Tanzania, salah faham masyarakat terhadap penyakit HIV dan AIDS menjadi sebab utama penyakit ini distigmakan, di Malaysia pula kami berpandangan bahawa punca jangkitan penyakit HIV dan AIDS yang melibatkan tingkah laku yang menyimpang dalam agama dan moral menjadi sebab terpenting mengapa penyakit ini menjadi penyakit berstigma. Masyarakat mungkin tidak meletakkan stigma terhadap penyakit ini jika semata-mata kerana ia penyakit berjangkit dan membawa kepada kematian. Penyakit barah dan jantung adalah juga penyakit yang membawa kepada kematian tetapi tidak menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat. Begitu juga dengan penyakit berjangkit lain seperti influenza dan tibi juga tidak menimbulkan stigma kepada masyarakat.
Stigma ini muncul bermula daripada tanggapan bahawa individu-individu yang menghidap HIV dan AIDS adalah mereka yang devian kerana telah memilih jalan hidup dan pekerjaan yang bersalahan daripada ajaran agama dan norma-norma sosial dalam masyarakat. Mereka dilabelkan sebagai golongan yang rendah akhlak dan moral kerana membelakangkan pegangan agama. Tingkah laku menyimpang ini dianggap hina, kotor, memalukan dan sukar dimaafkan. Bagi masyarakat, HIV dan AIDS yang dihidapi mempunyai kaitan langsung dengan tingkah laku mereka. Secara spontan apabila seseorang diketahui dijangkiti HIV dan AIDS, masyarakat terus mengaitkan individu terbabit dengan penagihan dadah, pelacuran, kegiatan homoseksual, biseksual atau heteroseksual.
HIV dan AIDS diumpamakan seperti penyakit ‘hukuman tuhan’ terhadap orang yang melakukan ‘dosa’ terhadapNya. Golongan yang terdiri daripada mangsa juga tidak terlepas daripada menerima tanggapan prejudis sedemikian. Dalam hal ini, walaupun telah diketahui ada individu yang hanya menjadi mangsa kepada individu-individu lain yang melakukan kesilapan, ada juga dalam kalangan masyarakat yang masih memberikan tanggapan yang salah kepada golongan mangsa. Golongan mangsa ini tidak bersalah tetapi mereka mendapat tempias daripada kesalahan orang lain sehingga mereka juga dilihat sebagai orang yang bersalah. HIV dan AIDS amat menakutkan dan bersifat kejam. Ia tidak hanya membawa akibat buruk kepada pelakunya secara langsung tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan pelaku terbabit. Ia juga tidak hanya membawa akibat buruk ketika pelakunya masih hidup tetapi juga membawa akibat buruk selepas kematiannya.
Pihak yang menerima akibat buruk selepas kematian pesakit HIV dan AIDS biasanya terdiri daripada ahli keluarga dan orang-orang yang telah mereka sebarkan jangkitan HIV ini. Kalaupun pesakit HIV dan AIDS yang telah meninggal dunia tidak menyebarkan jangkitan, kematiannya tetap meninggalkan kesan emosi kepada ahli keluarga kerana pengurusan jenazah bagi pesakit yang meninggal dunia kerana HIV dan AIDS sangat rumit dan berbeza daripada biasa. Ini berlaku apabila sesetengah pihak yang menguruskan jenazah menolak untuk menguruskan jenazah yang meninggal dunia akibat HIV dan AIDS. Selain itu, ahli keluarga turut merasa malu, hina dan rendah diri juga hiba apabila jenazah ahli keluarganya diuruskan dengan cara yang berbeza daripada kematian biasa. Mayat yang mati kerana HIV dan AIDS dimandikan dengan air yang dicampurkan klorox dan dibalut dengan plastik sedangkan dalam keadaan biasa mayat mesti dimandikan dengan bahan-bahan suci sahaja. Bukan setakat itu sahaja, air campuran klorox juga akan dijirus di sekeliling kawasan yang digunakan untuk memandikan mayat dan juga di tanah perkuburan.
Oleh sebab itu ada keluarga yang ahli keluarganya meninggal dunia kerana HIV dan AIDS di rumah tanpa mendapatkan rawatan dari hospital bertindak merahsiakan status HIV dan AIDS si mati kepada pihak pengurusan jenazah. Mereka tidak mampu berdepan dengan tohmahan dan pandangan sinis masyarakat. Namun jika si mati tersebut meninggal dunia dengan mendapatkan rawatan dari hospital, mayatnya pasti akan dikendalikan oleh pihak hospital yang memungkinkan anggota masyarakat dapat mengagak punca kematian si mati terbabit.
Kesan buruk daripada kematian seorang pesakit HIV dan AIDS tidak berhenti setakat pengkebumiannya tetapi membawa kepada masalah yang berpanjangan. Ahli keluarga yang hidup akan berdepan dengan situasi yang mana status kesihatan mereka sentiasa diragui. Walaupun mereka disahkan bebas daripada HIV dan AIDS, masyarakat tetap berhati-hati dan membataskan pergaulan dengan mereka. Lebih memberi kesan jika mereka mengusahakan perniagaan restoran, kedai makan atau apa jua perusahaan makanan. Pelanggan hilang keyakinan dan takut untuk membeli makanan daripada mereka, perniagaan merosot dan punca pendapatan terjejas. Bayangkan jika keadaan ini terjadi ke atas seorang isteri yang kematian suami akibat HIV dan AIDS dan terpaksa menyara anak-anak dengan punca pendapatan dari perniagaan sebegini. HIV dan AIDS benar-benar menghukum dirinya yang tak bersalah, hukuman itu bukan hanya datang ketika suaminya masih hidup tetapi berpanjangan selepas suaminya meninggal dunia.
KESIMPULAN
Setiap individu menginginkan kehidupan yang sempurna, sejahtera dan bahagia. Salah satu faktor kesempurnaan dan kesejahteraan hidup ialah memiliki kesihatan yang baik serta hubungan yang harmoni dengan anggota masyarakat. Untuk mendapat kesihatan yang baik, selain daripada menjaga rutin fizikal secara disiplin mengikut aturan-aturan yang sepatutnya, kesihatan seseorang juga dipengaruhi oleh hubungan sosial yang baik dalam masyarakat berlandaskan sifat saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan saling memberi sokongan di antara satu sama lain. Sekiranya kesihatan yang baik dan hubungan sosial yang harmoni dengan masyarakat lenyap daripada kehidupan, mampukah seseorang itu menjalani hidupnya dengan sempurna?. Mampukah dia hidup gembira dan sejahtera?.
Ternyata kesihatan fizikal yang merosot serta hubungan sosial yang terganggu akan memberi kesan negatif kepada kehidupan seseorang. Hal ini menggambarkan situasi yang berlaku kepada pesakit HIV dan AIDS. HIV dan AIDS adalah sejenis penyakit yang ternyata memberi kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang dijangkiti virus ini. Ia sejenis penyakit yang luar biasa yang mengganggu seluruh sistem kehidupan pesakit merangkumi fizikal, emosi, spiritual dan sosial. Ia memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan, melemahkan spiritual, mengganggu emosi dan hubungan sosial dalam masyarakat. Hubungan sosial yang sepatutnya didasarkan di atas rasa hormat-menghormati, saling menghargai, saling menyayangi dan bantu-membantu telah bertukar kepada bentuk hubungan yang berlandaskan prejudis, diskriminasi, penghinaan dan penyisihan.
Kesakitan dan penyakit yang dialami oleh seseorang adalah sesuatu yang selalunya ingin dikongsi bersama ahli keluarga dan masyarakat. Tetapi tidak bagi pesakit HIV dan AIDS, mereka lebih cenderung untuk tidak berkongsi perihal penyakit mereka dengan keluarga dan masyarakat. Mereka lebih rela menanggung keperitan seorang diri. Tindakan menyembunyikan status penyakit ini didorong oleh sifat penyakit HIV dan AIDS sendiri yang berpunca daripada tingkah laku yang dianggap menyimpang dan tidak bermoral pada pandangan masyarakat. Kebanyakan pesakit HIV dan AIDS merahsiakan identiti mereka sebagai pesakit kerana takut dipulaukan oleh keluarga dan masyarakat. Jika identiti pesakit mereka didedahkan, ini bererti identiti seksual yang menyimpang, identiti pekerjaan dan identiti penagih yang tidak bermoral akan diketahui oleh masyarakat.
Meneliti tindakan penghidap HIV dan AIDS yang menyembunyikan identiti mereka sebagai pesakit, dua kesimpulan dapat dijelaskan. Pertama, tanggapan masyarakat terhadap anggota masyarakat yang lain memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan seseorang dalam masyarakat. Persepsi dan pengiktirafan masyarakat begitu berpengaruh dalam menentukan pilihan seseorang. Penghidap HIV dan AIDS sanggup menyembunyikan identiti mereka semata-mata untuk mendapat pengiktirafan yang baik daripada anggota masyarakat yang lain sehingga mengenepikan kesan buruk penyakit mereka terhadap diri sendiri, keluarga dan orang-orang di sekeliling mereka. Oleh kerana bimbangkan pandangan buruk masyarakat terhadap mereka, mereka lebih bersikap individualistik dengan tidak mendedahkan status penyakit mereka sehingga mengundang bahaya dengan menyebarkan penyakit HIV dan AIDS kepada orang lain. Mereka merasa malu dan hina jika masyarakat mengetahui tingkah laku tidak bermoral mereka sebagai pelacur, penagih dadah serta homoseksual dan biseksual.
Persoalannya, mengapa perasaan malu dan hina itu dipentingkan selepas dijangkiti HIV dan AIDS? Adakah sebelum dijangkiti mereka tidak mengetahui bahawa tingkah laku mereka adalah menyimpang, hina dan memalukan serta boleh membawa kepada jangkitan HIV dan AIDS? Pada andaian kami, sememangnya mereka telah mengetahui perkara tersebut tetapi selagi mereka berupaya menyembunyikan tingkah laku menyimpang daripada pengetahuan masyarakat, maka tidak timbul soal malu, merasa terhina atau takut didiskriminasikan. Namun apabila dijangkiti HIV dan AIDS, mereka tidak lagi berupaya menyembunyikan tingkah laku menyimpang tersebut. HIV dan AIDS telah ‘bercakap’ kepada masyarakat tentang tingkah laku mereka yang cuba disembunyikan. Perspektif dan pandangan masyarakat terhadap anggota masyarakat yang lain begitu berpengaruh sehingga dilihat mengatasi pandangan tuhan terhadap seseorang. Bagi seorang Islam, pandangan sebegini tidak boleh menjadi pegangan hidup. Pandangan tuhan terhadap kita mesti diutamakan berbanding pandangan masyarakat terhadap kita. Jika setiap orang Islam berpegang kepada prinsip ini, pasti mereka tidak akan terlibat dengan gejala-gejala menyimpang yang membawa kepada HIV dan AIDS.
Kedua, HIV dan AIDS telah menyebabkan berlakunya krisis identiti dalam kalangan penghidapnya. Sebaik sahaja disahkan positif HIV dan AIDS, pesakit terpaksa memilih di antara mengambil identiti pesakit atau tidak. Jika mereka mengambil identiti pesakit, bermakna mereka juga boleh mengambil peranan pesakit sekaligus boleh mendapat rawatan yang khusus yang sepatutnya diterima oleh seorang pesakit, namun dalam masa yang sama identiti mereka yang menyimpang juga akan diketahui umum dan mereka mungkin berdepan dengan penyisihan, pengabaian dan penghinaan. Jika mereka tidak mengambil identiti pesakit pula, bermakna mereka juga tidak boleh mengambil peranan sebagai orang sakit. Mereka tidak akan mendapat rawatan kesihatan yang baik dan khusus dan dalam masa yang sama mereka juga berpotensi menyebarkan penyakit ini kepada orang lain. Jadi bagaimana krisis identiti ini diselesaikan oleh pesakit? Kebiasaannya mereka menyelesaikan krisis dengan membuat pilihan berdasarkan kepercayaan mereka. Kebanyakan mereka percaya bahawa tidak mengambil identiti pesakit adalah pilihan terbaik untuk membolehkan mereka hidup bebas bersama masyarakat.
LAMPIRAN
Carta: Taburan Penagih Dadah Mengikut Negeri di Malaysia 2010
8
Sumber: Agensi Anti Dadah Kebangsaan
Carta: Pecahan Penagih Dadah Mengikut Etnik di Malaysia 2010
Sumber: Agensi Anti Dadah Kebangsaan
7 comments:
salam..awk boleh x bagi link rujukan utk kajian fatan hamanah tu sbb sy pun tgh buat kajian pasal HIV jgk..
salam..awk nk link rujukan fatan hamanah tu boleh? saya pun tgh buat kajian psl HIV. TQ
Very good pοst! We will be linking to this particulаrly gгeаt artіclе on οur website.
Keep up thе great ωгiting.
My web page: bucket trucks
Saya pembawa hiv. Jika bkesempatan sila ke blog saya- akuhivpositif.blogspot.com
salam... akak, blh x saya nak link rujukan.. plezz help me...
salam... akak, blh x saya nak link rujukan.. plezz help me...
maaf semua, saya tak jumpa SC dia, jd saya bg HC, sila rujuk gambar di atas ya.. TQ
Post a Comment