Thursday, April 10, 2014

Nur Farina Abdullah Berita Harian 10 April 2014


FAMILI: Nur Farina "KEJAR ILMU" Muka6/7 Oleh: Azida Shaharuddin 

DAHAGA ILMU: Nur Farina kini penceramah motivasi, penulis buku walau hanya bersekolah hingga Tingkatan Empat
Kesempitan hidup membuatkan Nur Farina Abdullah terpaksa melupakan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Empat dan sekaligus memusnahkan impiannya untuk bergelar peguam atau pensyarah.

Walaupun tahu hanya pelajaran dapat mengubah nasib seseorang, Nur Farina terpaksa akur dengan kehendak keluarga angkat yang mahu beliau membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual kuih muih di tepi jalan.

Saat itu hatinya begitu meronta-ronta untuk sama-sama menimba ilmu dengan rakan lain apatah lagi tempat berniaga berdekatan dengan perhentian bas. Saban hari Nur Farina sekadar melihat mereka turun dan naik bas ke sekolah atau pulang rumah.

Namun, siapa sangka nasibnya berubah selepas mendirikan rumah tangga. Orang kata, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Itulah pepatah yang Melayu yang boleh digambarkan mengenai Nur Farina, 32, apabila kisah silamnya yang tidak dapat menyambung pelajaran ditebus semula selepas berkahwin.

Berkat semangatnya yang menggunung untuk maju dalam hidup, Nur Farina melanjutkan pelajaran dan kini bangga kerana memiliki Ijazah Sarjana Antropologi Sosiologi (Sosiologi Keluarga), selain bergelar penceramah motivasi dan penulis buku kanak-kanak.

Walau baru satu karyanya berada di pasaran, buku berjudul Iman Sayang Kiki, mendapat sambutan yang menggalakkan dan sehingga kini mencapai jualan 5,000 naskah.

Sebagai penulis yang tidak dikenali dan baru bertapak, angka itu begitu bermakna dan sebagai permulaan yang baik untuk saya," kata Nur Farina yang ditemui baru-baru ini.

Kecewa terpaksa berhenti sekolah

Kali pertama penulis bertemu dengan Nur Farina, nyata wanita ini seorang yang peramah, mudah didekati dan bersemangat tinggi. Tidak dinafikan dengan pencapaiannya pada hari ini, jelas terpancar kebahagiaan dan kebanggaan dalam dirinya.

Hanya apabila menceritakan zaman kanak-kanaknya, penulis dapat menyelami aura kepahitan dan kesedihan yang bukan saja diterjemahkan menerusi riak wajah, tetapi juga nada suaranya.

Mengimbas waktu kecil, sebagai kakak sulung kepada enam adik-beradik, Nur Farina beranggapan beliau perlu berkorban untuk membantu ibu bapa nagkatnya menyara adik-adik yang lain.

"ketika itu saya berangan mahu jadi seperti abang dan kakak di luar sana yang bergelar pelajar Universiti, bagi saya mereka  golongan hebat dan bijak. Bagaimanapun, apabila berhenti sekolah, saya rasa masa depan saya gelap kerana memikirkan jika sekolah pun tidak habis, mustahil untuk saya capai impian," katanya.

Bangkit ubah hidup

Sungguhpun tidak lagi bersekolah, Nur Farina masih membaca buku-buku sekolah terutama buku berunsurkan motivasi.

"Membaca bahan bacaan sebegini membuatkan saya semakin tabah dan yakin, menanamkan prinsip tidak patut berasa rendah diri dan malu pada kawan-kawan. Menerusi bacaan, saya sedar sungguhpun susah, sebenarnya ada orang yang lebih susah daripada saya dan jika saya sempat bersekolah hanya sebulan diua di Tingkatan Empat, ada mereka di luar sana yang langsung tidak berpeluang bersekolah" katanya.

Mengimbau kembali kisah silamnya, Nur Farina berkata segala-galanya mula berubah apabila usianya menginjak 17 tahun. Beliau berkahwin dengan lelaki pilihannya, Mohd Nadzri Hamzah, seorang ahli perniagaan yang ketika itu berusia 36 tahun.

Nur Farina yang bekerja sebagai kakitangan perkhidmatan pelanggan di sebuah gedung terkemuka di ibu kota, mengenali suaminya ketika turun lif di gedung itu.

"Saya tidak mengenalinya, namun ketika dalam lif secara tiba-tiba beliau serahkan kad perniagaannya dan berkata, jika awak bukan isteri atau tunang orang, sila hubungi saya. Bagaimanapunm saya tidak menghubunginya sehingga beliau yang menghubungi saya di pejabat. Sejak itu, kami berkenalan, keluar bersama dan pada hari dia malamar saya, saya setuju," katanya tersenyum mengenang tempoh perkenalan singkat yang membawa kepada perkahwinan dalam tempoh kira-kira setahun itu.
Sambung belajar usia 22 tahun

Bergelar isteri dan mempunyai seorang anak lelaki tidak menghalang keinginan Nur Farina untuk menyambung pelajaran dengan mengikut sukatan mata pelajaran Tingkatan Empat walaupun ketika itu beliau berusia 22 tahun.

"Sebelum ini, saya juga pernah menjadi model pakaian dan pernah juga berlakon drama dan telefilem. Saya memang suka mencuba dan menonjolkan diri. Mungkin itulah sifat yang membuatkan suatu hari suami bertanyakan cita-cita saya dan mencadangkan saya menyambung pelajaran. Pada saat itu, saya rasa amat gembira kerana memang bercita-cita dan membayangkan impian bakal terlaksana. Dengan izin suami, saya menyambung pelajaran," katanya.

Kembali bersemangat, Nur Farina mendaftar sebagai calon persendirian di pusat tuisyen Jalan Pudu dengan menyertai kelas Tingkatan Empat dan Lima secara serentak kerana mengejar masa.

Hari pertama kelas, ramai guru, pelajar dan kerani pusat tuisyen itu pelik kerana usia Nur Farina 22 tahun, tetapi belajar sukatan pelajaran Tingkatan Empat.

"Sukarnya belajar pada waktu itu hanya Allah saja yang tahu. Waktu ulang kaji hanya dalam kelas dan perjalanan pergi dan pulang menaiki transit aliran ringan (LRT), kerana apabila di rumah, saya menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Ada ketikanya saya keliru kelas yang diikuti. Contohnya, pernahsatu hari, jam 11 pagi saya belajar subjek Matematik Tingkatan Lima, kemudian, jam 2 petang subjek yang sama, tetapi sukatan Tingakatan Empat.
Hasil dorongan dan bantuan semua tenaga pengajar dan rakan, dalam masa setahun belajar dan menduduki peperiksaan, saya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus melayakkan saya memohon melanjutkan pengajian ke Universiti," katanya.
Suami, anak sumber inspirasi

Nur Farina mengaku suaminya banyak membantu beliau maju dalam pelajaran termasuk memohon universiti.

"Pernah saya diterima masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka untuk mengikuti pengajian diploma. Suami izinkan, tetapi saya pula yang tidak sanggup berjauhan dengannya dan anak, maka memutuskan melanjutkan diploma di institut pengajian tinggi swasta saja. selesai mendapat diploma Pengajian Teknologi dan Maklumat, suami terus galakkan sambung ijazah sarjana muda dalam bidang sama sehingga kini saya memiliki ijazah sarjana Sosiologi Keluarga dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya yang akan menyambung ijazah doktor kehormat(PhD) sekiranya tiada halangan.

Saya tahu suami juga puas dengan kejayaan saya. Alhamdulillah, Allah  pertemukan saya dengan lelaki sebaiknya.

Saat ini jika ditanya apakah kejayaan yang saya kecapi, saya boleh katakan apa yang saya miliki kini iaitu ijazah sarjana adalah kejayaan besar yang sangat berharga.

Dengan pengiktirafan ini, saya diundang beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar. Sekarang saya menjadi panel dan ahli kumpulan motivasi The Inspirer dan pernah memberi ceramah di Kolej Vokasional Batu Pahat dan Kota Tinggi.

Penulisan buku pula lahir daripada inspirasi anaknya, Muhammad Iman Hakimi, 11, dan kucing peliharaan mereka, Kiki, sudah diulang cetak dan menjadi titik permulaan kerjayanya sebagai penulis karya kanak-kanak.

Tdak sangka percubaan pertama menulis buku mendapat sambutan menggalakkan, semuanya dorongan rakan juga penulis tersohor, Sri diah," katanya yang menetap di Bangi.
Pembakar Semangat

Sementara itu, Mohd Nadzri, 49, berkata memahami jadual isterinya yang padat, beliau sedia membantu menguruskan rumah tangga termasuk menjaga anak, memasak dan mengemas rumah.

"Saya tidak kisah melakukan apa saja, asalkan dia gembira dan bahagia. Apa saja tugas yang memerlukan, saya akan lakukan semata-mata kerana ingin isteri saya berjaya.

Saya bangga mengahwini wanita yang tahu apa yang dimahukan dan bercita-cita tinggi untuk memajukan diri.

Dulu, isteri saya belajar 'sekerat jalan' kerana keadaan memaksa, tetapi itu tidak bermakna dia tidak boleh sambung menimba ilmu pengetahuan dan menjadi contoh berguna kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada anak kami," katanya.




Syukur Alhamdulillah...
Allah tidak lama membiarkan saya dalam keperitan.


#Kredit gambar pada rakan FB saya: FARAH NADIAH AHMAD

7 comments:

hahaha hairil said...

Ooo itu maksudnya credit title.. Tq kakak syg.. Glad can help you n ur fan(me laa tu)

Nadira Kushari said...

Waaahh! Salute dengan akk. Baru tahu mcm mana cerita akk . hehe ^^ selama ni asyik dok tengok status akk tengah menulis je. hihi ^^ Keep it up kak!

Unknown said...

Selama ni dok berkawan je kat fb ngn k.ina... tak tau pun kisah akak... bangga dgn kamu kak...

Nur Farina Abdullah said...

Terima Kasih semua. Mana yang baik jadikan ilmu, mana yg sebaliknya panggil lori sampah suruh hantar tapak pelupusan sampah. :)

Zai JB said...

X sangka kisah awak sgt hebat. Saya bc kat bh dan try google nama awak dan awak buat saya bersemangat nak majukan diri. Teruskan usaha.

Zai
JB

Unknown said...

akak mmg idola saya

Unknown said...

akak mmg idola saya